Selasa, 15 Disember 2015

PRN Sarawak: PKR bekerjasama dengan Pas dan Amanah

 
PAS dan Amanah dijangka tidak akan bertanding antara satu sama lain kerana ia tidak akan membantu mereka mengalahkan Barisan Nasional (B) yang diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Negeri, Adenan Satem.


Untitled-1Tian-Chua_pk_sarawak_600


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasang strategi untuk berkerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas bagi bertanding di kerusi majoriti Melayu dan Islam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah besar untuk bertanding di kerusi itu memandangkan mereka sudahpun membina kerjasama yang baik dengan kedua-dua Pas dan Amanah.

“Di Sarawak, PKR dan DAP akan memainkan peranan yang penting. PKR akan bekerjasama dengan Amanah dan Pas bagi membantu kami dalam kawasanyang majoritinya Melayu Islam… Kami sangat mengalu-alukan sokongan daripada kedua-dua parti itu dan saya yakin kita tidak akan hadapi sebarang masalah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau juga menjangka PAS dan Amanah tidak akan bertanding antara satu sama lain kerana ia tidak akan membantu mereka mengalahkan Barisan Nasional (B) yang diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Negeri, Adenan Satem.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa BN kuat di kawasan-kawasan tersebut dan untuk melawan mereka, perlu ada kerjasama yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, PKR turut melancarkan MyChanegeMakers sebagai sebahagian daripada kempen menawan Sarawak.

Tambahnya lagi, di sebalik 52 tahun BN mentadbir Sarawak, negeri itu masih terpinggir daripada perhatian kerajaan pusat walaupun ia adalah sumber ekonomi terbesar kerajaan Persekutuan.

“Pembentukan MyChangeMakers akan membawa perubahan melalui projek-projek masyarakat setempat.

“Antara projek yang dirancang adalah membuat loji mini tenaga di kawasan luar bandar di Sarawak dan projek-projek pendidikan untuk pengundi Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan: