Khamis, 17 Disember 2015

PPIM pertahan serbuan, penguatkuasa tidak cukup kakitangan

 
Kita perlu proaktif dan menghentikan perbuatan menipu pengguna kerana mereka mencemar nama baik para peniaga yang jujur


kompleks


PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempertahankan serbuan keatas kedai-kedai peniaga yang didakwa menipu pelanggan mereka di Kompleks Kota Raya.

Dalam serbuan itu, PPIM turut mengambil semula wang pengadu yang mendakwa telah ditipu oleh peniaga-peniaga terbabit.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki mendakwa telah ‘dikurung’ dalam sebuah bilik kecil selama empat jam oleh sekumpulan lelaki kerana enggan membeli telefon bimbit dari sebuah kedai di pusat beli-belah itu.

Beliau membuat laporan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum membuat laporan ke PPIM, selepas mendakwa tiada tindakan diambil. PPIM kemudiannya bertindak menyerbu kompleks itu.

Dalam serbuan itu, PPIM mengambil semula sejumlah RM11,900 dalam bentuk tunai dari beberapa kedai, yang didakwa telah menipu tujuh lagi pelanggan.

Bercakap kepada FMT, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya telah menerima banyak aduan daripada orang-ramai, terutamanya dari orang asing, yang telah ditipu peniaga di kompleks itu.

“Kita tidak boleh tunggu pihak berkuasa (bertindak) kerana mereka menangani banyak tanggungjawab tetapi tidak mempunyai kakitangan mencukupi.

“Kita perlu proaktif dan menghentikan perbuatan menipu pengguna kerana mereka mencemar nama baik negara dan para peniaga yang jujur,” kata Nadzim bila ditanya mengapa mereka bertindak secara bersendirian.

Nadzmin menjelaskan bukan tujuan PPIM mahu menunjuk-nunjuk tetapi demi melindungi hak pelanggan.
Beliau berkata PPIM berkunjung ke Kompleks Kota Raya tempoh hari bersama para pengadu dan bertindak bagi pihak mereka.

“Bukannya kita ke sana untuk membuat kacau. Kita juga membuat laporan polis sebelum kita ke sana dan bawa pihak media bersama kerana kita mahu tunjukkan betapa serius perkara ini.

“Dengan berbuat demikian, orang-ramai juga perlu bekerjasama. Sesetengah pelanggan mengambil sikap acuh tak acuh tetapi sikap itu mengalakkan lagi peniaga penipu.”

Nadzim berkata pengguna perlu sedar kuasa dalam tangan masing-masing dan menggesa pihak berkuasa supaya membanteras peniaga penipu dari kawasan itu.

“Pesan saya kepada peniaga penipu mudah, ‘Hentikan!'”

“Jangan kamu (peniaga) semua ingat kamu boleh menipu sesuka hati kerana kamu terlepas dari pandangan pihak berkuasa. Ramai pengguna memerhatikan perbuatan kamu.”

Dalam laporan lain, FMT melaporkan Ketua Setiausaha KPDNKK Alias Ahmad berkata badan bukan kerajaan supaya jangan bertindak secara bersendirian, dan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang disyaki menipu pelanggan.

1 ulasan:

mansor berkata...

tahniah dan syabas PPIM...KPDNK tak mampu buat kerja dgn berkesan bahkan diragui kejujuran mereka....