Jumaat, 4 Disember 2015

PPIM: Jangan sampai rakyat 'meletup'

Anne Muhammad


 


Kenaikan harga barangan yang kelihatan seolah-olah tanpa henti ketika kini boleh membuatkan rakyat "meletup" kata Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Jelas Nadzim, jika keadaan tidak dikawal segera ada kemungkinan rakyat akan "memberontak" dan pelbagai keadaan luar jangka boleh berlaku.

Mengakui pengguna secara keseluruhan hidup tertekan ketika ini, pelbagai kekangan yang dikenakan terhadap rakyat tidak akan dapat diterima begitu saja.

"Ini tak boleh, itu tak boleh, akhirnya pengguna akan meletup.

“Bila meletup, jadi macam-macamlah, hilang akal sebab duit tak ada," katanya di sidang media di pejabat PPIM Kuala Lumpur hari ini.

Nadzim mengulas pelaksanaan kadar baru tambang ERL yang diumum syarikat itu - dan diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat - mulai 1 Januari 2016.

Kerja gila jangan buat

Melalui kadar baru itu perjalanan sehala stesen KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) meningkat kepada RM55 berbanding RM35 ketika ini.

Katanya lagi, tekanan hidup dialami rakyat ditambah pula dengan kenaikan kadar tambang perkhidmatan Express Rail Link (ERL) yang diumumkan kerajaan yang dianggapnya "kerja gila" kerana ia dilakukan pada masa tidak sesuai.

“Ini masalah paling besar kerana (lakukan) tidak kena masa, dan ia memang kerja gila.

"Masa (untuk melaksanakan kenaikan tambang) kena betullah. Harga (baru) pun kena betul. Ini naik sampai RM20 atau lebih 50 peratus. Kerja gila jangan buat," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan dan syarikat konsesi yang mengendalikan pengangkutan awam supaya mengkaji semula kenaikan tambang yang dibuat.

Nadzim juga menyeru mereka tidak melakukan sesuatu tindakan secara terburu-buru.

"Kerajaan kena tegas. Sebarang kenaikan perlu dijelaskan, kalau nak naikkan harga tiket wayang tak apalah, tapi ini benda benda yang pengguna perlu," katanya.

Tiada ulasan: