Jumaat, 11 Disember 2015

Phang Chaw: Amanah tidak pernah berhasrat untuk gantikan PAS

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Exco Parti Amanah Negara (PAN) Nasional Hu Pang Chaw berkata parti itu tidak pernah berhasrat untuk menggantikan PAS sebaliknya penubuhan komponen pembangkang itu hanya sebagai alternatif kepada pengundi.
 
"Sebenarnya perjuangan Amanah yang termaktub dalam perlembagaan parti bukan nak gantikan PAS tapi sebagai satu parti yang berlandaskan Islam.
 
"Tapi Islam yang lebih inklusif maknanya lebih menerima pandangan yang berbeza dan daripada perbezaan itu kita cari titik persamaan," katanya kepada Antarapos.
 
Mengulas lanjut bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ini berkata PAN terbuka menerima perbezaan idealogi antara komponen Pakatan Harapan (PH) kerana ia bukan alasan untuk tidak bekerjasama.
 
"Dalam mana-mana agama pun mesti ada perbezaan, daripada perbezaan itu biarlah kita cari titik persamaan kerana persamaan itu akan menjadi satu platform membawa kemakmuran, kesejahteraan, kebajikan dan sebagainya kepada rakyat Malaysia.
 
"Kita bukan ke arah nak cari perbezaan sebab falsafah hidup manusia memang penuh dengan perbezaan," katanya.
 
Justeru Hu mengulangi penegasan PAN tidak berhasrat untuk menggantikan PAS sebaliknya agenda yang perlu ditekankan adalah mengambil alih pentadbiran pusat daripada Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Sebab itulah Amanah tak pernah menyatakan pendirian nak menggantikan PAS.
 
"Cuma kita nak teruskan usaha kita untuk jatuhkan Umno-BN di Putrajaya khususnya bersiap sedia menghadapi PRU14 nanti," katanya.
 
PAN mampu kekal dalam arena politik negara
 
Kata Ketua Biro Integrasi Nasional ini lagi, penerimaan rakyat terhadap PAN amat memberangsangkan menambah perkembangan itu memberikan signal positif untuk parti itu bertapak dengan lebih lama.
 
"Sebenarnya idea untuk menubuhkan Amanah ini timbul semasa mereka mengadakan himpunan G18 di Johor yang ada desakan daripada akar umbi bahawa kumpulan ini kena bergerak atas platform politik.
 
"Maka timbul idea untuk menubuhkan parti politik yang baru supaya mereka ada satu platform membawa isu-isu politik dan sebagainya ke Parlimen atau DUN sebab di antara mereka ada yang wakil rakyat," katanya.
 
Jelas Hu, tumpuan kini adalah untuk mengukuhkan serta memantapkan kedudukan PAN di seluruh negara.
 
"Jadi perkara ini dibincangkan dan diumumkan pada 31 Ogos di mana kita mendaftar parti atas nama Parti Progresif Islam tapi ditolak RoS kerana Islam tak boleh digunakan untuk mana-mana parti politik.
 
"Kemudian kita lancarkan Parti Amanah Negara pada 16 September untuk bergerak ke depan dan sehingga kini keahlian kita melebihi 60,000 orang," katanya.
 
Tambah beliau, meskipun timbul perselisihan antara PAS-PAN serta PAS-DAP ia tidak akan merencatkan gerak kerja PAN di peringkat akar umbi.
 
"Ini menunjukkan bahawa parti ini mendapat sambutan hangat dan rakyat mahukan satu perubahan selain mereka juga menyambut baik pembentukan Pakatan Harapan.
 
 "Walaupun ada perselisihan antara PAS, PKR dan DAP tapi sekiranya kita kekallkan matlamat untuk menumbangkan Umno-BN dan membawa senario politik baru kepada rakyat maka saya tidak nampak kenapa parti pembangkang termasuk PAS tidak boleh bekerjasama," katanya.
 
 

Tiada ulasan: