Sabtu, 12 Disember 2015

Perwakilan risau kesan TPPA

MALAYSIAKINI


 


Meskipun kerajaan didakwa sudah menjawab persoalan berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menerusi sesi beberapa siri penerangan, ia dilihat masih belum dapat meyakinkan rakyat.

Perwakilan dari Johor, Suhaimi Salleh berkata, rakyat beliau bimbang terhadap keupayaan Malaysia meramal dengan tepat impak jangka masa panjang TPPA terhadap masa depan negara dan ekonomi orang Melayu.

“TPPA bukanlah perjanjian yang biasa-biasa. Ia perjanjian perniagaan yang rumit, sangat kompleks dan tiada siapa - walau sehebat mana sekalipun pemikiran ekonominya - mampu menjangkakan dengan tepat keadaan pada masa akan datang.

“Dan saya juga tidak rasa kita mempunyai keupayaan mendalam untuk meramal dengan tepat impak jangka masa panjang TPPA terhadap masa depan Malaysia dan masa depan ekonomi orang Melayu,” kata perwakilan Tanjong Piai itu semasa membahaskan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno 2015, di PWTC.

Kata Suhaimi, penerangan dan penjelasan yang dibuat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) tidak memadai.

“Kalau sekadar memaparkannya di laman web Miti, pasti tidak memadai. Siapa yang akan membaca dan memahami 6,000 muka surat perjanjian yang rumit tersebut? Bagaimana mungkin kita menyandarkan masa depan Malaysia dengan tidak mengambil kira pandangan kerisauan dan kritikan pelbagai pihak yang pasti akan merasa tempiasnya?

“Berilah pencerahan mendalam kepada seluruh masyarakat. Kenapa kita memerlukan TPPA ini, kenapa kita perlu menandatanganinya, apa yang kita runding dan apa yang kita mahu daripada semua ini?" kata Suhaimi.

Justeru, Suhaimi mahu kandungan perjanjian tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat secara jelas dan mendalam.

“Bentangkan di Parlimen, perbahaskanlah, perdebatkanlah dan undilah di Parlimen Malaysia Kerana semua ini adalah tentang masa depan Malaysia dan bangsa ini.

"Kami adalah sebahagian daripada Malaysia ini, maka kalian harus tahu kami ada pandangan, kami juga ingin faham dan ingin tahu dan ingin dirujuk.

“Benar kami bukan entiti yang selayaknya atau kefahaman kami tentang ekonomi tidaklah muktabar, tetapi di negara kami dan kalian yang merunding perkara ini berada di sana kerana suara kami dan pilihan kami.
“Jadilah rakyat the true master to the political master,” tegas Suhaimi.

Justeru, beliau menyarankan beberapa perkara seperti mewujudkan satu jawatankuasa khas yang akan berfungsi secara khusus untuk memberikan penerangan berkesan kepada seluruh rakyat tentang kesan TPPA mengikut kelompok pendengar.


Tiada ulasan: