KUALA LUMPUR,  Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 kali ini dilihat agak kritikal ekoran pertembungan dua pemimpin yang menyebabkan berlakunya krisis di dalam parti itu.

Pakar Antropologi Budaya dan Politik UPM, Dr Aris Arif Mundayat berkata keadaan itu membawa satu situasi yang agak tegang di dalam perhimpunan kali ini apabila melihat perwakilan terbahagi kepada dua kumpulan.

“Saya kira situasi PAU 2015 kali ini cukup mencemaskan, kepimpinan sekarang. Jadi memang isunya memang sangat konterversi dan juga mengakibatkan ketegangan di dalam Umno itu sendiri.

“Di dalam Umno itu tegang, tentu saja kerana ada dua kekuatan yang berhadapan dan saya rasa mungkin sama kuat, lebih kurang sama kuat. Dua kepimpinan ini mempunyai akar umbi yang sangat kuat,” kata Dr Aris yang juga berasal dari Indonesia itu.
Dr Aris Arif Mundayat
Pakar Antropologi Budaya dan Politik UPM, Dr Aris Arif Mundayat – Foto TRP/Azrol Ali
Beliau yang juga bukan kali pertama hadir ke PAU sebagai pemerhati mengulas bahawa Umno akan tetap kekal relevan meskipun kini parti itu berhadapan dengan keadaan yang genting.

Ini kerana sokongan akar umbi masih lagi kukuh bersama parti Melayu gergasi itu.

“Saya rasa Umno masih mampu kekal sebagai sebuah parti yang relevan, masih panjang umur Umno.

“Kerana Umno menjadi tempat untuk orang Melayu mewujudkan hasrat dan identiti politik mereka. Dan itu menentukan hayat Umno masih panjang dan itu juga menunjukkan Malaysia masih menggunakan kaum sebagai identiti politik, itu pasti akan panjang (umur Umno),” ujarnya kepada The Rakyat Post.

Sementara itu, penganalisis politik dari UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mempunyai ciri-ciri yang defensif.

Ini dilihat tidak bertentangan dengan kuasa autoriti Najib yang bertujuan untuk memelihara jawatan dan kuasanya selaku pemimpin parti berkenaan.

“Memang ada dalam ucapan beliau berciri-ciri defensif, itu telah diramal yang mana beliau akan bertindak menyampaikan ucapan sedemikian sebab dia kena menunjukkan bahawa dia ada autoriti.

“Sebagai presiden, dia ada autoriti untuk melakukan apa saja tindakan, dasar dan sebagainya…dan rakyat khususnya penyokong dan ahli Umno menyokong beliau.

“Dia memang menggunakan platform ini untuk mempertahankan diri beliau dan juga menegaskan bahawa dia sebagai presiden dan ketua kepada orang Melayu, Umno dan autoriti beliau tidak sepatutnya diganggu gugat,” katanya kepada The Rakyat Post.
Prof Dr Azizudin Mohd Sani
Penganalisis politik dari UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani – Foto TRP/Azrol Ali
Beliau menambah, Umno perlu menyelesaikan isu-isu yang berkait secepat mungkin bagi memastikan sokongan rakyat tidak terjejas menjelang PRU14 akan datang.

Ini termasuk permasalahan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga dana politik yang diterima Najib berjumlah RM2.6 billion daripada penderma dari Timur Tengah.

“Sekarang ini era Najib, sepatutnya tidak ada ancaman kepada beliaulah. Tapi dalam masa yang sama ada juga reaksi dari perwakilan, ada juga ucapan yang semalam dari Melaka menyeru supaya berbaik semula.

“Kalau lihat dari mood, nampak seolah-olah keseluruhannya untuk presiden, tapi ada juga yang melihat kepada perlunya berbaik semula. Isu yang timbul saya tak nampak ianya lebih kepada kepimpinan, selalunya kepimpinan itu yang menyebabkan krisis itu berlaku.

“Tapi isu yang banyak dibangkitkan adalah isu melibatkan isu nasional seperti 1MDB, RM2.6 billion. Maksudnya kena selesaikan dulu isu itu, baru dapat selesaikan isu ini (krisis kepimpinan),” tambahnya lagi.

PAU2015 kini sedang berlangsung yang mana ianya bermula 8 Disember lalu dan akan berakhir pada 12 Disember.

Perhimpunan parti itu kali ini sedia ada diramalkan panas ekoran krisis kepimpinan yang terjadi di antara Najib dan Muhyiddin serta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.