Isnin, 21 Disember 2015

Persatuan silat hadkan penggunaan senjata

MALAYSIAKINI


 


Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengeluarkan pekeliling baharu mengenai penggunaan senjata dalam aktiviti persilatan dengan mengehadkannya kepada pesilat 18 tahun ke atas.

Pekeliling itu dikeluarkan susulan insiden seorang remaja terbunuh selepas tertikam keris ketika membuat pertunjukan silat di Kampung Patau-patau, Labuan, kelmarin, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, setiausaha Agungnya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata langkah tersebut akan diperhalusi terlebih sebelum dimaklumkan kepada anggota gabungannya

Katanya, pekeliling itu juga akan menghadkan tahap kemahiran seseorang dalam menggunakan senjata dalam persembahan silat.

“Dalam peraturan sekarang sudah ada larangan penggunaan senjata seperti keris dan parang kepada pelajar sekolah yang terlibat dalam pertandingan dan persembahan silat.

“Bagaimanapun, langkah yang akan diambil selepas ini lebih kepada pencegahan dan keselamatan. Bukan semata-mata menghalang terus penggunaannya,” Megat Zulkarnain dipetik sebagai berkata.

Seorang remaja berusia 17 tahun kelmarin dilaporkan maut selepas tertikam dengan keris semasa membuat pertunjukan silat dalam satu majlis perkahwinan.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa Mohd Amil Zulkarnain mengalami luka di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Nukleus Labuan.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di jantung yang menyebabkan pendarahan yang banyak.


Tiada ulasan: