Ahad, 20 Disember 2015

Perkasa tolak UMNO jika tak berubah

 
Perkasa sedia menyokong Pas pada PRU14 jika parti itu tidak lagi beretorik dan lebih progresif.


Ibrahim-Ali_perkasa_umno_pas_600


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sedia menjadikan Pas sebagai parti pilihan pada Plihan Raya Umum ke-14 ( PRU14) sekiranya parti itu tidak lagi beretorik dan menjadi sebuah parti progresif.

Persidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam ucapan dasar di Persidangan Agung Tahunan Ke-6 Perkasa pada Ahad berkata, pertubuhan itu sedia menolak UMNO pada PRU-14 sekiranya parti itu masih gagal menyelesaikan kemelut dan perpecahan yang berlaku dalam parti Melayu itu.

“Perkasa tidak memberikan sokongan kepada mana-mana pihak, waima UMNO, Barisan Nasional (BN) atas dorongan emosi dengan perkiraan semberono atau prinsip membuta tuli.

“(Malah) pendirian Perkasa dalam PRU14, akan kami tentukan berdasarkan kajian terperinci dalam PRU14 kelak. Kita mempunyai dua pilihan, antara UMNO dan Pas yang sudah memutuskan ikatannya dengan DAP.

“Jika menjelang PRU 14, Pas tidak lagi beretorik dan menunjukkan kemampuan untuk membela hidup dan mati Melayu, Pas mampu jadi pilihan Perkasa,”katanya.

Katanya sokongan yang dibuat kepada Pas telah dipertimbang apabila mereka telah berpisah dengan DAP.

Bagaimanapun, Perkasa belum membuat keputusan muktamad untuk memberi sokongan kepada Pas atau terus kekal menyokong UMNO seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Perkasa akan meneliti, mengkaji dan membuat keputusan muktamar bila sampai waktunya nanti. Pilihan kami sama ada UMNO atau Pas kerana dua parti itu diiktiraf Melayu Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menggesa UMNO dan BN menyelesaikan isu yang melibatkan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma RM2.6 bilion.

Sekiranya perkara itu gagal diselesaikan, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu gagal untuk kekal memerintah selepas PRU-14.

Tiada ulasan: