Jumaat, 11 Disember 2015

Perhimpunan Agung Umno hanya berdegar-degar



Oleh Hafizuddin Amir Bin Hasim


Perhimpunan Agung Umno kembali lagi.Untuk sayap Umno yang paling hambar dan lesu seperti Puteri dan Wanita dan sayap “one-man show” seperti Khairy Jamaludin dalam Pemuda, inilah satu-satunya platform utama mereka untuk cakap berapi selama beberapa hari sebelum kembali senyap sehingga Perhimpunan Agung tahun berikutnya.

Hasil daripada cakap berapi itu tidaklah ke mana sebaliknya hanya ditinggalkan dalam dewan sama seperti “goodies bag, flyers” yang diedarkan.

Untuk orang yang hendakkan sesuatu,di situlah tempatnya untuk menonjolkan diri demi publisiti.

Tapi setakat itu sajalah. Semangat dan niat itu hanya membara di situ.

Bagi orang biasa di luar, sara hidup tetap semakin mencabar dan mikroekonomi negara terus merudum.

Hal ini bukan mainan persepsi seperti yang selalu dimainkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, serta Datuk Seri Salleh Said Keruk serta Datuk Seri Rahman Dahlan sebaliknya suatu realiti mencengkam.

Kalau tidak percaya tanya dompet anda sendiri. Harga barang dan perkhidmatan apabila meningkat sangatlah mendadak sehingga RM10-20 sekali naik. Lebih keji lagi kenaikan ini juga berlaku beberapa bulan sekali.

Kos sara hidup bukan meningkat saban tahun tapi saban bulan. Mungkin tidak lama lagi saban minggu malah saban hari.

Tetapi pimpinan Umno sebagai parti yang memerintah kerajaan terus memilih untuk tidak berfikir mengenai perkara ini sebaliknya hanya sedapkan hati yang “all is well” dan terus cakap berdegar-degar dalam Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apa saja keresahan yang dibangkitkan adalah hasil keputusan dan dasar pimpinan terdahulu walaupun presiden Umno memegang tanggungjawab selama 6 tahun,bukan 6 hari.

Dalam konteks organisasi seseorang ketua menjadi muka kepada parti itu walaupun seorang tidak mewakili keseluruhan parti.

Tapi jika orang itu adalah presiden maka tindak tanduk presiden akan mencerminkan parti itu kerana rakyat tidak akan bersusah payah mengkaji prinsip dasar parti itu terutamanya apabila sedang marah.

Lihat saja presidennya,begitulah anak buahnya. Walaupun saya berfikir Najib bukanlah Umno tapi Najib memalukan UMNO.

Sekiranya Umno benar berpegang kepada prinsip dasar perjuangan maka Najib sudah lama ditendang keluar sama seperti Dato’ Onn Jaafar dipaksa keluar walaupun dia yang mengasaskan parti itu.

Itulah semangat Umno yang sebenar. Ia tidak ditubuhkan untuk memberi tempat kepada seseorang walaupun orang itu yang mengasaskannya.

Sebaliknya orang itu diberi tempat untuk menggerakkan idealisme kerana idealisme tidak boleh digerakkan dari atas kertas.

Samalah seperti jasad dan roh.

Jadi kegilaan apakah presiden Umno dan perdana menteri ini?

Kesalahan diletakkan kepada presiden Umno dan perdana menteri kerana dia sebagai ketua kerajaan dan sebagai ketua kerajaan gagal kawal industri daripada terus menekan rakyat.

Tapi boleh arah Tabung Haji untuk beli tanah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebab pemimpin Umno ketuai Tabung Haji.

Dia juga boleh pecat peguam negara dan timbalan perdana menteri kerana tidak menyebelahinya.

Keputusan yang tidak menyebelahi kepentingan peribadinya dia boleh arah tapi kepentingan rakyat dia gagal arah sebaliknya meletakkan beban kesalahan kepada industri itu dan pimpinan terdahulu.

Apakah yang dia fikirkan ? Tidak malukah ?

Tidak malukah pemimpin Umno cakap berdegar-degar mempertahankan presidennya dalam PWTC tapi dalam hati mereka tahu semua kegilaan ini berlaku di luar dan presiden adalah ketua kegilaan ini?

Atau adakah kerana tekanan dan kemarahan rakyat menyebabkan konsep Perhimpunan Agung Umno ditukar kepada Perhimpunan Agung Najib?dpuf

Tiada ulasan: