Rabu, 23 Disember 2015

Penipuan visa - Kementerian gantung 4 universiti, kolej swasta

Geraldine Tong



 


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) digantung daripada menerima pelajar antarabangsa yang baru.

Keputusan itu dibuat berikutan laporan bahawa warga asing datang ke Malaysia untuk bekerja menggunakan visa pelajar sehingga ada kolej swasta di negara ini dirujuk sebagai 'kolej visa’.

Idris berkata mereka telah memeriksa semua universiti dan kolej swasta dan seterusnya menggantung empat daripada mereka daripada menerima pelajar antarabangsa baru.

"Sebab itu kita ke institusi pengajian tinggi swasta itu supaya kita boleh semak jika mereka (pelajar yang mempunyai visa) berada di sekolah atau tidak. Itulah sebabnya kita gantung empat IPTS," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Seorang pegawai dari kementerian itu kemudian berkata mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan nama-nama universiti dan kolej berkenaan.

Idris berkata, sebahagian besar pekerja asing yang datang ke Malaysia menggunakan visa pelajar datang dari pusat bahasa.

Beliau juga menegaskan bahawa dengan sistem baru kad pelajar yang dilancarkan tahun lalu, adalah lebih mudah bagi kerajaan untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai visa pelajar tetapi bukan sebenarnya seorang pelajar.

"Ramai daripada mereka datang melalui pusat bahasa di mana mereka diberi tempoh visa tiga bulan.
"Kami tidak boleh kawal sebelum ini kerana mereka tidak mempunyai kad pelajar.

"Sekarang mereka mempunyai kad pelajar yang akan menghadkan mereka selama tiga bulan sahaja jadi apabila mereka ditangkap, kita akan tahu bahawa mereka telah tinggal melebihi tempoh," katanya.

Idris juga menegaskan bahawa hanya 0.075 peratus daripada pelajar antarabangsa terlibat dalam jenayah di negara ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa sesetengah visa pelajar membolehkan mereka untuk bekerja dalam bidang yang sama seperti apa yang mereka pelajari.

Idris turut mengumumkan bahawa kabinet semalam meluluskan tiga kaedah baharu untuk memperkasa pengambilan pelajar antarabangsa, berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Menurutnya, kaedah berkenaan ialah pelaksanaan permohonan pas pelajar antarabangsa secara dalam talian dibuat oleh pelajar sendiri terus kepada Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS).

"Selain itu, pas pelajar akan dikeluarkan mengikut tempoh pengajian manakala pas lawatan sosial bagi Program Mobiliti boleh dikeluarkan untuk tempoh maksimum 12 bulan.

"Usaha ini membabitkan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, EMGS dan agensi penguat kuasa lain.

"Langkah ini dijangka dapat membantu mempercepatkan dan meningkatkan ketelusan dalam proses permohonan," katanya.

Idris berkata, inisiatif ini diharap dapat melonjakkan usaha kerajaan dalam mencapai sasaran enrolmen penuntut antarabangsa yang berkualiti iaitu 200,000 penuntut menjelang tahun 2020.

Tiada ulasan: