Sabtu, 12 Disember 2015

Pendirian Hadi jadi garis panduan parti


Hadi Awang
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


KUALA TERENGGANU - Pendirian yang disuarakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama bersama Umno menjadi garis panduan Pas di negeri ini.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kepimpinan Pas negeri ini akan menuruti apa yang disuarakan presiden iaitu Pas tetap bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Setakat ini apa yang presiden cakap menjadi garis panduan Pas Terengganu berkenaan apa jua perkara dibangkitkan berhubung kerjasama politik antara dua parti ini.

“Garis panduan itu termaktub pada apa yang diucap oleh presiden Pas iaitu akan tetap bersama dan bergading bahu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Hanafiah berkata, Pas Terengganu mempunyai keyakinan penuh dengan potensi sokongan rakyat yang ada sekarang menunjukkan sokongan berpihak kepada pembangkang.

“Kita miliki keyakinan penuh dengan ‘mood’ rakyat yang ada pada hari ini menunjukkan bahawa kita bersedia untuk ganti Umno dalam PRU akan datang.

“Keyakinan itu jelas dan pendirian kita serupa sama ada kepimpinan di peringkat negeri atau nasional,” katanya.

Beliau berkata, isu kerjasama politik yang diperkatakan itu sudah sekian lama memandangkan talian hayat Umno kini bergantung pada Pas dan orang Melayu.

“Kita sedia maklum bahawa kaum Cina sudah tidak menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN), dan kita juga telah menjalinkan Tahaluf Siyasi bersama PR bukan dalam tempoh yang singkat, jadi kerjasama politik antara Pas dan Umno tidak akan berlaku.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan gerakkan jentera kita sehingga ke peringkat akar umbi untuk berjuang dalam PRU14 untuk menumbangkan Umno,” katanya.


Tiada ulasan: