Rabu, 9 Disember 2015

Pemuda UMNO bawa usul kos sara hidup, untuk apa?

 
Selepas semua orang puas mengadu mengenai kenaikan harga, kini giliran Pemuda UMNO pula, tetapi apa motif disebaliknya kalau tiada apa yang akan berlaku.
 
 
 
Khairy-Jamaluddin_umno_kos_600


Nampaknya selepas semua orang ‘membuat bising’ mengenai kenaikan harga dan kos sara hidup, Pemuda UMNO tidak mahu dilihat ketinggalan.

Bercakap sahaja pun, bukan bertindak atau terjun dalam aksi melakukan sesuatu perubahan, maka sesiapapun boleh berbuat demikian.

Mungkinkah ucapan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menggesa pemerintah menghentikan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan bakal memberi impak?

Kemungkinan besar tidak.

Menurut laporan, Khairy menegaskan rakyat sudah tidak boleh menerima lagi pelbagai kenaikan harga yang membebankan kos sara hidup mereka.

“Pemuda mahu kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini.”

“Enough is enough,” katanya, yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Samalah seperti rungutan mak cik saya, jiran belakang rumah, uncle yang bawa teksi, pengawal di sekolah anak, pekerja di stesen petrol, rakan-rakan dan kenalan yang lain.

Saya pasti rungutan yang dibawa oleh Pemuda Umno hanya untuk meraih perhatian.

Purely an attention seeking act.

Oleh kerana status Khairy selaku Menteri dan Ketua Pemuda UMNO, kekesalannya akan disiarkan di muka utama akhbar, dibawa secara langsung di kaca televisyen dan dilapor sepanas-panasnya di laman portal.

Apakah dengan rungutan Pemuda UMNO ini, kerajaan bersedia untuk mengubah polisi yang telah ditetapkan atau dilaksanakan?

Apakah harga tambang pengangkutan awam akan dikurangkan? Atau caj kenaikan tol akan dirombak semula? Atau kerajaan akan memberi penyelesaian yang lebih menyeluruh dan adil supaya boleh dinikmati oleh seluruh rakyatnya?

Jika perkara itu berlaku, saya boleh melihat betapa cerah peluang Pemuda UMNO memenangi hati rakyat.
Tidak mustahil kebergantungan UMNO akan berubah daripada pemimpin veteran yang berpengalaman kepada yang dark, tall and handsome.

Bukan itu sahaja, rakyat akhirnya boleh mempercayai pasukan pemuda dan pemudi yang cakap serupa bikin dan bukan seperti pemimpin veteran yang sibuk bertelagah untuk menyelamatkan kerusi masing-masing tanpa menghargai siapa yang memberikan mereka kuasa untuk duduk di kerusi itu.

Walhal, seluruh rakyat sedang berteka-teki dengan drama politik yang dipersembah, betapa seronoknya jika ada hero yang menamatkan segala saga itu.

Macam filem Bollywood atau Tamil, diakhir filem, segala masalah selesai, semua orang happy, si hero disanjung.

Maka dalam sesi Perhimpunan Agung UMNO ini, mari kita tengok kalau-kalau ada ahli politik yang mahu ke depan dan menjadi jaguh atau mereka sekadar pak karut semata-mata.

Tiada ulasan: