Isnin, 7 Disember 2015

Pembantu: Muhyiddin tak bentuk 'Team 5M'

Anne Muhammad


 


Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membentuk 'Team 5M' untuk mencabar kem Datuk Seri Najib Razak dalam pemilihan Umno akan datang, kata seorang pegawainya.

Perkara itu dijelaskan oleh setiausaha akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim ketika dihubungi Malaysiakini.

“Siapa-siapa yang mereka-reka cerita kita perlu jawablah?

“Itu sudah (cukup) menjawab soalan kamu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


Portal pro-Najib MYKMU , memetik laman "PRU14" mendakwa Muhyiddin kan mengumumkan “Team 5M” yang akan bertanding dalam pemilihan Umno 2018 nanti malam ini dalam pertemuan dengan penyokong di ibu negara.

Menurut portal itu, Muhyiddin akan bertanding jawatan presiden dan mencabar Najib.

Jawatan Timbalan presiden pula didakwa akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara jawatan naib presiden pula didakwa akan direbut oleh penyandang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas menteri besar Terengganu Datuk Ahmad dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled juga telah menafikan dakwaan itu, begitu juga dengan Setiausaha Akhbar Shafie, Zamri Maulan.
Perhimpunan agung Umno akan berlangsung mulai esok sehingga Sabtu ini di ibu negara.

Tulisan itu mendakwa Muhyiddin mengambil keputusan itu setelah sekumpulan tokoh Melayu ternama yang dikenali “G25” didakwa menolak permintaan mereka untuk bekerjasama menjatuhkan Najib.

Muhyiddin didakwa cuba mengambil inisiatif itu bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin sebelum ini digugurkan sebagai timbalan perdana menteri setelah lantang mengkritik syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib, 1MDB.


Tiada ulasan: