Selasa, 8 Disember 2015

Pembangkang masih tiada kesefahaman walaupun dalam wajah baru Pakatan Harapan

 Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

 
Post Pic



SHAH ALAM: Perebutan di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak tahun depan menunjukkan masalah tiada persefahaman dalam pakatan pembangkang masih wujud, terutama dalam wajah terbarunya Pakatan Harapan (PH).

Menurut penganalisis politik Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, isu ini bukan baru malah ia pernah melanda Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Katanya, selain masalah peletakan calon di Sarawak, pakatan ini juga berdepan dengan masalah percanggahan pendapat sesama mereka.

"Sebenarnya komponen dalam Pakatan Harapan pun masih tidak boleh bersetuju antara satu sama lain. Di Semenanjung masih ada isu di antara PKR, PAS, DAP, masing-masing tidak boleh berunding terutamanya dalam memastikan bahawa matlamat mereka itu boleh dicapai.

"Ini adalah satu senario yang berlaku di Sarawak. Di mana kita lihat percanggahan pendapat itu berlaku daripada awal penubuhan, bukan saja PH tapi semasa PR juga berlaku. Kita lihat pertembungan peletakan calon di beberapa kawasan memang telah berlaku," katanya kepada Antarapos.

Semalam PKR mempertaruhkan 15 calon keutamaannya yang akan bertanding pada PRN Sarawak. Selain PKR, Amanah juga berhasrat melahirkan 'anak sulung' mereka dalam pilihan raya yang sama.

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali memberi jaminan bahawa tiada pertindihan kerusi di Sarawak yang akan memecahkan undi pembangkang dan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

Sekiranya PH gagal menyelesaikan masalah ini, ia akan memberi kelebihan undi kepada BN.

"Ini adalah satu masalah yang sukar diselesaikan dalam PH kerana masing-masing tak boleh bersetuju untuk duduk sekali dan mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam meletakkan calon yang paling sesuai mewakili parti masing-masing.

"Ini merupakan satu fenomena yang biasa dan saya lihat pertelingkahan ini akan berpanjangan dan memberi kelebihan kepada BN,” tambahnya.


Tiada ulasan: