Isnin, 7 Disember 2015

Pelabur asing gunakan Malaysia sebagai 'peluang' untuk Perjanjian TPP

Bernama 
 
Pelabur asing gunakan Malaysia sebagai 'peluang' untuk Perjanjian TPP
ONG: TPP bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur tempatan tetapi pelabur antarabangsa turut akan melihat Malaysia sebagai destinasi yang sangat ideal untuk melabur.
 
 
KUALA LUMPUR: Pelabur asing, terutama dari China akan menggunakan Malaysia sebagai 'peluang' untuk mendapat manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang menawarkan pertumbuhan dalam eksport.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata 2016 akan menjadi tahun yang sangat sibuk untuk liberalisasi perdagangan bebas, terutama di ASEAN dan pasaran perdagangan utama lain seperti Amerika Syarikat dan China.

Beliau berkata lebih 400 perjanjian perdagangan bebas (FTA) telah ditandatangani sebelum ini dan kebanyakannnya dikuasai oleh perjanjian kolektif seperti Komuniti Ekonomi ASEAN dan Kesatuan Eropah, yang juga akan memberi keuntungan kepada Malaysia pada masa depan.

"Malaysia bukan sahaja menganggotai AEC, ia turut berada dalam Inisiatif Jaluran Ekonomi Jalan Sutera China. Jika pada Januari tahun depan Parlimen bersetuju untuk negara menyertai perjanjian TPP, Malaysia akan mendapat kelebihan strategik.

"Saya fikir, ia (TPP) bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur tempatan tetapi pelabur antarabangsa turut akan melihat Malaysia sebagai destinasi yang sangat ideal untuk melabur (terutamanya bagi negara-negara anggota bukan TPP)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 di sini pada Jumaat.

Malaysia dan 11 negara anggota TPP seperti Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Amerika Syarikat, memuktamadkan perjanjian itu dua bulan lepas.

Parlimen Malaysia akan mengundi pada 26 Jan depan untuk membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau menolak perjanjian TPP.

BACA: TPPA mungkin ditandatangani di New Zealand pada Februari - Najib


BACA: Kehadiran syarikat dari negara TPP bukan bermakna Malaysia dijajah - Mustapa



Tiada ulasan: