Sabtu, 5 Disember 2015

PAU2015 tidak terjejas tanpa ucapan Muhyiddin – Ku Li

 
Apa yang penting pada perhimpunan itu nanti adalah ucapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak  kerana ia akan menjadi topik perbincangan 


Ku Li


KUALA LUMPUR: Ketiadaan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2015) tidak akan menjejaskan perhimpunan itu.

Mengulas mengenainya, bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menegaskan ia hanya berbentuk perasmian.

Atas alasan itu, beliau berpendapat pimpinan parti berpendirian ucapan yang sebelum ini menjadi tradisi boleh dibuat ketua sayap masing-masing.

Katanya, apa yang penting pada perhimpunan itu nanti adalah ucapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Ini semua ceremonial sahaja kerana apa yang berlaku adalah ucapan presiden yang akan dibincangkan.

Itu yang penting sekali. Ucapan-ucapan orang lain berupa pandangan yang barangkali menambah tokok apa yang diucapkan Presiden dan memberi perkhabaran apa yang berlaku dalam parti dan negara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelbagai insiden yang timbul sebelum PAU 2015, Ahli Parlimen Gua Musang itu menjelaskan ia bukannya drama.

Sebaliknya, situasi yang berlaku adalah perubahan yang dirasakan pimpinan perlu dilakukan.

“Barangkali pimpinan rasa perlu dilakukan. Itu dia punya keputusan, jadi kita terima dengan terhormat.

Jadi ada juga orang dalam parti demokratik berlainan pendapat sudah tentu akan ada pertelingkahan pendapat dalam soal ini,” katanya ketika ditemui selepas Forum Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan, di Universiti Malaya.

Tiada ulasan: