Rabu, 9 Disember 2015

PAU: Muhyiddin sedih mulut dikunci MT

 
Hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan berucap pada sesi penggulungan. 


muhyiddin


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO tetap dengan keputusan untuk tidak membenarkan Timbalan Presiden berucap pada sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke-69.

Tan Sri Muhyiddin sewaktu ditemui FMT melahirkan rasa kecewa dengan pendirian majlis itu.

“Saya masih tidak diberikan peluang untuk berucap. Saya tidak tahu atas alasan apa.

“Saya tidak boleh merasmikan, tidak boleh berucap. Mulut saya dikunci,” ujarnya sewaktu ditemui selepas mesyuarat khas MT pada Rabu malam.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini lantang mengkritik Najib ekoran beberapa isu kontroversi yang dikaitkan pada Presiden UMNO itu.

Antara isu yang dikaitkan adalah kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion dari seorang dermawan Timur Tengah yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tanpa berselindung menyatakan rasa dukacita diatas layanan yang diterimanya.

“Saya sedih. Hak saya sebagai Timbalan Presiden hanyalah duduk hingga akhir. Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi itulah keputusannya,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal telah merayu tetapi tetap tidak dibenarkan berucap.

“Saya dan Shafie merayu untuk dibenarkan berucap. Tetapi setelah perbincangan dilakukan, nampaknya (MT) tetap menghalang saya,” jelasnya.

Di mesyuarat yang berlangsung pada jam 8 malam itu, majlis menetapkan bahawa hanya Presiden Datuk Seri Najib Razak dibenarkan berucap.

Mesyuarat turut menetapkan bahwa Muhyiddin dan Shafie masih lagi ahli UMNO dan tidak dipecat dari parti Melayu itu.

Tiada ulasan: