Isnin, 7 Disember 2015

PAU 2015 guna format baharu

 
Perhimpunan kali ke-66 bakal menguji kematangan anggota UMNO dan kebijaksanaan pemimpin ketika parti tunjang Barisan Nasional ini berdepan pelbagai cabaran dari dalam dan luar.


ku-nan-umno


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang bermula pada Selasa dijangka bakal menggunakan format baharu.

Menurut laporan Bernama, perhimpunan kali ke-66 yang menghimpunkan 5,738 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bakal menguji kematangan anggota UMNO dan kebijaksanaan pemimpin ketika parti tunjang Barisan Nasional ini berdepan pelbagai cabaran dari dalam dan luar.

Antara pembaharuannya ialah persidangan ketiga-tiga sayap parti pada Rabu yang akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing, berbanding secara tradisinya ia disempurnakan timbalan presiden.

“Selain itu, berkemungkinan hanya presiden parti yang akan menyempurnakan sesi penggulungan walaupun kebiasaannya, sebelum presiden menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan, wakil Majlis Tertinggi (MT), ketua-ketua sayap, naib-naib presiden dan timbalan presiden berucap pada sesi penggulungan.

“Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tidak salah jika tradisi dalam UMNO yang tidak termaktub dalam perlembagaan diubah, sebagaimana perasmian perhimpunan agung Pemuda, Wanita dan Puteri pada kali ini,” petik laporan itu lagi.

Bukan itu sahaja, seperti sebelum ini, perhimpunan akan bermula dengan majlis Taklimat Presiden yang akan diadakan secara tertutup malam esok di Dewan Merdeka.

Difahamkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas akan diadakan pada Rabu, pukul 8 malam, dengan antara agendanya untuk membuat keputusan berhubung ucapan penggulungan pada akhir persidangan.

Malah, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan memadai membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan ini, memecahkan tradisi lama.

Hala tuju ucapan dasar Presiden, antara lain dijangka menyentuh agenda memperkasakan UMNO, isu-isu semasa dan penjelasan lanjut mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Secara relatifnya, sesi perbahasan dijadual akan bermula dengan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi, agama dan pendidikan dan diakhiri dengan ucapan penggulungan pada Sabtu, hari terakhir perhimpunan.

Sebanyak 768 usul diterima daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

Antara topik yang dijangka mendominasi perbahasan ialah kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian agama Islam.

Tiada ulasan: