Ahad, 13 Disember 2015

PAS tak akan sekongkol ‘pikul biawak hidup’

Oleh: AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: PAS bertegas tidak akan bersekongkol ‘memikul biawak hidup’ dan kekal dengan perjuangan memperkukuh syariat sebagai gerakan Islam kepada negara serta rakyat.

Pendirian itu dizahirkan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan Umno menjadi musuh tradisi mereka kerana prinsip syarak bukan atas nama atau diri ahli parti itu.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat ketika terus lemas dalam soal derma RM2.6 bilion.

tuan ibrahim tuan man“Negara perlu diselamatkan daripada rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, salah urus tadbir dan politik wang yang kini subur dan menjadi ciri terkenal dalam pentadbiran kerajaan diterajui Umno.

“Antara keadilan Islam pertama yang perlu dihayati Umno adalah keperluannya untuk berlaku adil dan menghentikan kezaliman kepada musuh politiknya.

“Ini termasuk membayar royalti minyak kepada Kerajaan Kelantan dan berhenti menzalimi rakyat negeri itu dengan meneruskan projek Lebuhraya Pantai Timur sehingga sampai ke Kota Bharu atas dasar keadilan syariat Islam,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Umno selaku pemerintah mempunyai tanggungjawab terhadap aqidah dan syariat serta perlu meninggalkan dasar nasionalisme.

Beliau turut mengingatkan tindakan Umno menekan Kelantan dan kakitangan awam yang cenderung menyokong PAS hingga mengakibatkan mereka ditukar serta dikenakan hukuman.-NFN-


Tiada ulasan: