Jumaat, 11 Disember 2015

PAS sedia kerjasama dengan syarat Umno kembali kepada Islam

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menerima pelawaan kerjasama yang dihulurkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tetapi dengan syarat parti Melayu itu kembali kepada Islam, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Presiden PAS itu berkata, sekarang juga merupakan masa yang sesuai bagi Umno untuk kembali kepada Islam dalam setiap aspek perjuangannya.
 
“PAS juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, sama ada politik, sosial mahu pun ekonomi.
 
“PAS beriman kepada Allah yang pintu taubat tidak pernah ditutup dan rasa keinsafan yang murni adalah kunci mendapat keampunan daripada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
 
Merujuk kepada pelawaan Najib yang disampaikan melalui ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno ke-69 di Kuala Lumpur siang tadi, Hadi berkata ia boleh dianggap sebagai suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan rakyat majmuk keseluruhannya.
 
“PAS selamanya berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap hasrat perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah SWT dengan mana-mana pihak, sama ada Islam atau kalangan bukan Islam,” katanya.
 
Menurut Hadi, ianya selaras dengan asas PAS yang menjadikan al-Quran dan as-sunnah, ijma' ulama dan qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah dalam gerak kerja dan tindakan untuk membina masa depan yang sejahtera.
 
Beliau berkata, PAS juga terus berjuang menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus, dan kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara.
 
“Berdasarkan prinsip inilah, maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang, dan diputuskan di pelbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan secara kolektif,” katanya.
 
Hadi bagaimanapun berkata, dalam tempoh terdekat ini PAS adalah rakan tahaluf siyasi PKR dan komited dengan kerjasama yang dibuat sebagaimana yang dicapai dalam muktamar serta diluluskan Majlis Syura Ulama Pusat

Tiada ulasan: