KUALA LUMPUR,  Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee menegaskan sokongan pengundi dan rakyat terhadap parti Islam tersebut di Sarawak ketika ini semakin mengukuh dan bukannya tidak mendapat sambutan seperti mana yang dikatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Jofri, Pas akan bertandingan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak seperti mana yang dikatakan oleh Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Jelasnya, antara kerusi yang akan ditandingi tersebut termasuklah beberapa kerusi bandar yang mana sebelum ini ia biasanya ditandingi oleh calon DAP.

“Antara kerusi yang bakal ditandingi oleh Pas dalam Pilihanraya Negeri Ke-11 akan datang termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.

“Apapun, Pas Sarawak sedia berunding dengan PKR sebagaimana keputusan Pas Pusat yang masih mengekalkan tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PKR.

“Perbincangan kerusi ini tidak tertakluk kepada perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) kerana Pas bukan sebahagian gabungan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jofri, beliau mengingatkan PKR agar lebih berwaspada dengan tindakan licik rakannya dalam PH iaitu DAP yang baru-baru ini telah ‘mencuri’ beberapa bekas calon PKR dalam pilihan raya lepas dan mengisytiharkan mereka menyertai DAP.

Katanya, DAP juga bercita-cita tinggi untuk merampas banyak kerusi yang ditandingi oleh PKR sebelum ini.

“DAP telah mengisytiharkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandinginya DAP sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata, isu seperti membabitkan Pas sebagai parti Semenanjung tidak lagi berbangkit kerana ia adalah parti yang berasaskan perjuangan Islam untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

“Ini terbukti dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri dari mereka yang bukan beragama Islam dan memainkan peranan yang penting sebagai hubungan antara kaum dan agama di Sarawak.

“InsyaAllah seluruh pimpinan dan ahli Pas akan terus turun padang ke Sarawak bagi membantu persiapan pilihan raya dengan sasaran untuk menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri sulung Pas ke DUN Sarawak,” tegasnya.