Selasa, 15 Disember 2015

PAS Pulau Pinang mahu saman Mat Sabu kerana enggan tarik balik tuduhan diresapi Isis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang difailkan PAS Pulau Pinang, susulan keengganan beliau menarik balik dakwaan kononnya parti Islam itu diresapi fahaman militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). 
 
Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim, yang dipetik akhbar Berita Harian hari ini berkata, tindakan terhadap Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan dilakukan sejurus perbincangan mengenainya dimuktamadkan di peringkat pusat.
 
Menurut Iszuree, perbincangan mengenainya membabitkan beberapa pihak dalam parti, termasuk Jawatankuasa Undang-undang PAS dan peguam yang dilantik parti.
 
"Kita (PAS negeri) sedang menunggu maklum balas mengenai perkara ini daripada PAS pusat. Keputusan mengenainya tidak dapat dimuktamadkan secara terus di peringkat negeri kerana ada batas tertentu," 
 
"Perbincangan mengenainya akan dibuat secepat mungkin dan akan mengambil kira pendapat daripada Jawatankuasa Undang-undang parti dan peguam yang dilantik," katanya.
 
Mat Sabu sebelum ini pernah mendedahkan bahawa antara punca Amanah ditubuhkan ialah kerana PAS sudah diresapi pemikiran kumpulan militan Isis.
 
Bekas Timbalan Presiden PAS itu turut menuntut agar pasukan keselamatan negara membuat siasatan terperinci ke atas penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya 'takfiri' dalam PAS.
 
Ekoran dakwaan itu, beliau menerima pelbagai kritikan daripada kepemimpinan PAS, yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dan berniat jahat.
 
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan menarik balik kenyataannya kerana berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian. 
 
Sebelum ini, PAS membuat laporan polis terhadap Mat Sabu dan Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat terhadap dakwaan 'jahat' pemimpin Amanah tersebut.

Tiada ulasan: