Jumaat, 18 Disember 2015

PAS kekal pendirian tidak bergabung dengan Umno

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS konsisten dengan pendiriannya untuk tidak bergabung dengan Umno kerana menyifatkan penyatuan orang Islam di negara ini bukan berkisar kepada penggabungan dua parti itu semata-mata. 
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya banyak cara lain boleh difikirkan untuk mengembalikan perpaduan orang Islam dan Melayu yang melangkaui kerjasama politik.
 
"Saya tidak melihat ada jangkaan untuk PAS bergabung dengan Umno, itu satu perkara yang bukan mudah. Tapi kita jangan bercakap atas nama politik, kita bercakap atas nama perpaduan dan ummah," katanya dipetik Sinar Harian.
 
Isu kerjasama antara Umno dan PAS semakin hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak menghulurkan 'tali silaturahim' kepada parti Islam itu untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
 
Pelawaan itu dibuat ketika beliau berucap menyampaikan ucapan dasar sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015, minggu lalu.
 
Najib dalam ucapannya itu turut melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas 'disepak dan diterajang keluar' oleh rakan-rakan pembangkangnya.
 
Isu itu menunjukkan perkembangan yang positif apabila Najib dipertemukan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar, semalam.
 
Najib dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan, manakala Hadi pula dijemput untuk menyampaikan ucap tama. 
 
Malah Najib dalam ucapan perasmian majlis itu semalam sekali lagi mengajak PAS untuk bergabung bersama Umno, dengan mengambil sepotong ayat Al Quran sebagai rujukan untuk mewujudkan usaha ke arah penyatuan dua parti politik berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: