Rabu, 2 Disember 2015

PAS Johor mahu bertanding semua kerusi DUN, Parlimen - Mahfodz

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR sekali lagi menerima tekanan apabila PAS Johor mengumumkan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekiranya tiada perbincangan antara kedua-dua parti mengenai peruntukan kerusi. 
 
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya cuba menghubungi PKR mengenai pembahagian kerusi, namun gagal mendapat maklum balas daripada parti itu. 
 
Malah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berkata, PAS bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya secara bersendirian dan bekerjasama dengan parti-parti kecil atau organisasi bukan kerajaan.
 
"Saya tahu ia akan menjadi sukar jika kita bersendirian...tapi tiada apa yang mustahil," katanya dipetik mStar.
 
Dr Mahfodz dalam pada itu tetap menegaskan parti itu menolak kemungkinan untuk berkompromi bersama DAP walaupun terpaksa menghadapi pertandingan tiga penjuru kelak. 
 
Semalam, PKR didesak untuk menyatakan pendirian oleh PAS Perak sama ada mahu bekerjasama dalam soal agihan kerusi pada PRU akan datang.
 
Pesuruhjaya PAS negeri itu, Razman Zakaria berkata, pihaknya sudah mahu memulakan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas melalui Lajnah Perpaduan Nasional bagi mengenalpasti calon bukan Islam untuk mewakili parti itu.
 
Justeru katanya, pendirian rakan kerjasama mereka itu penting untuk diketahui bagi memudahkan gerak kerja.      
 
Malah Razman dalam pada itu tidak menolak kemungkinan PAS bertanding di semua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan situasi semasa. 


Tiada ulasan: