Selasa, 22 Disember 2015

PAS ingatkan PKR waspada ahli dicuri DAP

 
Rakan tahaluf siyasi itu juga diingatkan supaya berhati-hati dengan rancangan DAP menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang


jofri-sarawak


PETALING JAYA: Pas mengingatkan PKR supaya berwaspada dengan tindakan licik DAP yang telah ‘mencuri’ beberapa bekas calon PKR dalam pilihan raya lepas dan mengisytiharkan mereka menyertai DAP.

Malah, Persuruhjaya Badan Perhubungan Pas Sarawak Jofri Jaraiee juga meminta rakan tahaluf siyasi (kerjasama politik) itu supaya berhati-hati dengan rancangan DAP menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, yang akan diadakan pada tahun hadapan.

“DAP juga bercita-cita tinggi untuk merampas banyak kerusi yang ditandingi oleh PKR sebelum ini dengan mengisytiharkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini,” kata Jofri dalam satu kenyataan pada Selasa.

Peringatan itu merupakan respon Pas Sarawak kepada kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin yang menepis pembabitan Pas dalam persiapan pakatan pembangkang menghadapi PRN Sarawak ke-11.

Menjawab pertanyaan FMT, Wan Azizah berkata isu pengagihan kerusi hanya dibincangkan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana Pas kurang mendapat sambutan di negeri itu.

“Tidak benar sama sekali Pas di Sarawak tidak mendapat sambutan seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini,” jawab Jofri.

“Mungkin disebabkan Pas Sarawak kurang mengeluarkan isu yang kontroversi dan kurang mendapat liputan media massa maka kegiatan Pas bersama masyarakat kurang mendapat liputan.”

Mengulas lanjut, Jofri berkata Pas Sarawak akan bertanding di sekurang-sekurangnya 11 kerusi DUN termasuk beberapa kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP.

Meskipun Perbincangan kerusi itu tidak tertakluk kepada perbincangan Pakatan Harapan, Jofri berkata pihaknya sedia berunding dengan PKR selaras dengan keputusan Pas Pusat supaya menghormati kerjasama dengan parti reformasi itu.

“Kenyataan (Dr Wan Azizah itu) tidak demokratik dan tidak cermat ini sewajarnya tidak dikeluarkan, malah tidak menggambarkan realiti sambutan Pas Sarawak yang semakin mengukuh di Sarawak,” kata Jofri.

Tiada ulasan: