KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada malam tadi meluluskan Rang
Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 di peringkat
jawatankuasa.
Rang undang-undang (RUU) berkenaan diluluskan tanpa pindaan dan tanpa undi belah bahagian.
Terdahulu ketika membahaskannya di peringkat dasar, undi belah bahagian
yang dilakukan menyaksikan 107 wakil rakyat bersetuju, manakala 77 lagi
Ahli Parlimen menolak.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim ketika menggulung perbahasannya menolak dakwaan pembangkang
bahawa RUU tersebut akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri
mengisytiharkan darurat di sesuatu kawasan.
Tegasnya tafsiran pembangkang terhadap RUU itu adalah salah kerana
kuasa mengisytiharkan darurat adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.
“Yang berhormat tak faham dan sengaja buat tak faham. Kuasa yang ada
kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi MKN hanya untuk mengisytiharkan
kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan, bukan
kawasan darurat.
“Ingin dijelaskan bahawa rang undang-undang ini tidak memberi kuasa
yang terlalu luas kepada perdana menteri adalah tidak benar kerana kuasa
itu berada pada majlis (MKN) yang mempunyai pengetahuan dalam hal ehwal
keselamatan negara.
“Jadi untuk mengatakan bahawa rang undang-undang ini merampas kuasa
Yang di-Pertuan Agong adalah salah dan tidak benar. Ingin saya tegaskan
bahawa rang undang-undang ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan,”
katanya.
RUU itu antara lain memberi Perdana Menteri kuasa untuk mengisytiharkan
kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan.
Ia turut memperuntukkan keanggotaan MKN terdiri daripada Perdana
Menteri sebagai Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan
Pengerusi diikuti tiga menteri yang dipertanggungjawab bagi pertahanan,
hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai
Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis
Negara.
Perdana Menteri atas syor Ketua Setiausaha Negara akan melantik seorang
dalam kalangan pegawai awam untuk menjadi Ketua Pengarah Keselamatan
Negara serta Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan
apa-apa bilangan pegawai dan perkhidmat lain dalam kalangan pegawai
awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan