Sabtu, 19 Disember 2015

Parlimen EU gesa siasatan 1MDB, derma RM2.6 bilion telus dan adil

THE MALAYSIAN INSIDER
Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang menggesa Putrajaya telus dan adil dalam siasatan terhadap skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai memalukan dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi ‘negara pariah’. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Disember, 2015. 
Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang menggesa Putrajaya telus dan adil dalam siasatan terhadap skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion sebagai memalukan dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi ‘negara pariah’. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menggesa Putrajaya bersikap lebih telus dan adil dalam siasatan membabitkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

EU dalam resolusi mereka turut menggesa Putrajaya bersikap lebih adil terhadap isu membabitkan hak asasi manusia, serta menyuarakan kebimbangan mereka terhadap hak-hak komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) serta hak-hak asasi manusia di Malaysia.

"Melalui resolusi itu, EU menyertai badan global termasuk Transparency International dan media termasuk penyiasat dari Hong Kong, Singapura, Switzerland, United Kingdom, dan Amerika Syarikat (AS) supaya kerajaan Malaysia menggesa siasatan terhadap 1MDB.

"Berhubung dakwaan rasuah, EU menggesa agar ‘siasatan bebas dan adil’ dan kerajaan tidak seharusnya menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media," kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim. 
 
Pemimpin DAP itu dalam kenyataannya berkata, resolusi itu memalukan negara dan jika tidak ditangani, Malaysia berisiko menjadi "negara pariah".

"Hari demi hari, skandal 1MDB yang tidak diselesaikan akan memberikan nama buruk kepada Malaysia di peringkat antarabangsa."

Resolusi itu turut menyentuh berhubung penggunaan Akta Hasutan 1948, serta sekatan perdebatan umum dan pengucapan bebas.

Selain itu ia menyentuh Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru diluluskan di Parlimen sebelum ini.

"Di bawah Akta Hasutan sendiri menyaksikan sekurang-kurangnya 78 disiasat atau didakwa sejak awal 2014," kata resolusi itu.

EU turut membangkitkan penahanan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat pada Februari 2015 dan menurut mereka "pendakwaan berasaskan politik" serta mengakibatkan pendakwaan jenayah yang tidak mematuhi standard perbicaraan antarabangsa.

"Beliau turut dinafikan hak mendapatkan rawatan perubatan."

Menyentuh soal LGBT, EU berkata komuniti itu disekat di bawah undang-undang anti liwat, dan berhadapan pengucapan kebencian, ancaman seksual dan fizikal.

"Kebimbangan yang disuarakan resolusi Parlimen EU ini bukan baharu bagi Malaysia," kata Sim.

Tambahnya, pemimpin pembangkang dan kumpulan sivil di negara ini menentang segala tindakan tersebut.

"Resolusi EU ini hanya menyentuh perkara pokok. Jika tiada sebarang perubahan, Malaysia akan menjadi negara ‘pariah’ seperti dikatakan mantan perdana menteri, (Tun Dr) Mahathir Mohamad," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: