Khamis, 17 Disember 2015

Negara tidak perlukan PM ultra-Melayu tetapi ultra-rakyat Malaysia

Oleh Fatih Hassan Nordin




KUALA LUMPUR. 27 NOVEMBER 2014. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. NSTP/ Effendy Rashid.


PERAK : Malaysia tidak memerlukan Perdana Menteri yang mengamal sikap ultra terhadap mana-mana kaum di negara ini, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Yang rakyat perlukan bukanlah ultra-Melayu, ultra-Cina, ultra-India, ultra-Iban atau ultra-Kadazan tetapi ultra-Rakyat Malaysia.

“Kenapa harus Perdana Menteri mempersoal sama ada ada beliau harus jadi ultra Melayu atau tidak?” katanya pada ceramah di Parit Buntar di sini, semalam.

Persoalan itu dibangkitkan Kit Siang berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU) khamis lalu bertanya adakah perlu bagi Presiden UMNO menjadi ultra atau pro-Melayu.

Justeru, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menyifatkan persoalan berkenaan sebagai bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang diasaskan Najib.

“Adakah Najib sudah lupa dengan konsep yang dipeloporinya itu? Yang bermatlamat untuk melahirkan rasa cinta terhadap negara mengatasi sentimen perkauman dan agama?” katanya.

Pada April 2009, Najib mengambil langkah populis dengan mengumumkan konsep 1 Malaysia kononnya untuk memperkukuh hubungan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun, sejak akhir-akhir ini dilihat konsep berkenaan tidak dibawa Najib dalam PAU kerana membenarkan ucapan berbaur perkauman dibuat perwakilan parti itu.

“Enam tahun Najib jadi Perdana Menteri dengan konsep 1 Malaysia. Beratus juta dibelanja untuk promosi, adakah negara terus bergerak maju atau mengalami kemunduran hasil konsep berkenaan?” katanya.

Justeru, Kit Siang berkata segenap lapisan rakyat harus menolak amalan perkauman dan pemikiran sempit seperti sesetengah pemimpin UMNO yang mengakibatkan negara mundur jika rakyat mahu Malaysia menjadi negara maju.


Tiada ulasan: