Khamis, 10 Disember 2015

Najib ‘terdesak’ tawarkan kerjasama, kata pemimpin PAS




Datuk Seri Najib Razak kelihatan sangat terdesak apabila terpaksa secara terbuka menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), kata wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Disember, 2015.Datuk Seri Najib Razak kelihatan sangat terdesak apabila terpaksa secara terbuka menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), kata wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Datuk Seri Najib Razak kelihatan sangat terdesak apabila terpaksa secara terbuka menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), kata wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar. 
 
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, tawaran Najib yang dikatakan bertujuan "menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatNya" itu dilakukan kerana Umno tidak memikirkan lagi undi orang bukan Islam.

"Ini kerana, bagi saya, Najib rasa BN tidak berupaya lagi mendapat lebih 20% undi bukan Islam," katanya.

Daripada 'bahasa badan' dan kenyataannya, jelas menunjukkan mereka mahu melonjakkan undi Melayu melalui bekerjasama dengan PAS, kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider. Bekas ketua penerangan PAS itu berkata, Umno tidak mahu membiarkan undi Melayu pecah kepada 3 iaitu Umno, Pakatan Harapan dan PAS jika dibiarkan parti Islam itu bersendirian.

"Saya yakin, PAS tidak akan sertai Pakatan Harapan walaupun dipujuk PKR. Dan akhirnya PKR terpaksa pilih Pakatan, bukannya PAS.

"Ini kerana, kalau sertai Pakatan, orang akan dakwa PAS hipokrit, selepas sekian lama menolaknya," kata Mahfuz mengulas fenomena yang berlaku sekarang.

Oleh itu, katanya ia satu peluang cerah untuk Umno mendapatkan dukungan Melayu setinggi mungkin kerana Umno perlu mengecilkan perpecahan undi Melayu.

"Jadi, PAS kena bersama BN untuk mendapatkan limpahan undi Melayu daripada PAS, dan PAS mendapat limpahan undi Melayu daripada Umno bila bersatu.

"Inilah perkiraan Umno," katanya.

Bagi mencapai hasratnya ini kata Mahfuz, Umno juga sedang membina persepsi mengenai bahaya DAP.

"Umno sedang membina kebencian kepada DAP sepenuhnya untuk mendapat sokongan maksima daripada Melayu," katanya.

Najib dalam ucapan dasar beliau selaku presiden Umno pagi ini menyeru ahli parti itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS.

"Kita di dalam Umno, berasa lega malah gembira, apabila PAS kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

"Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatNya," katanya di hadapan 2,654 perwakilan daripada 191 bahagian Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali enggan menjawab isu ini dan menyerahkan kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjawabnya.

"Biarlah presiden yang menjawab isu ini," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam respons kepada kenyataan Najib dalam isu yang sama sebelum ini berkata, PAS tidak akan membuat kerjasama politik dengan Umno.

Tuan Ibrahim berkata, kerjasama dengan Umno tidak mungkin berlaku kerana sejak Umno ditubuhkan hingga kini masih menjalankan penindasan dan kezaliman kepada ahli dan kepimpinan PAS.

Turut menolak tawaran Najib sebelum ini adalah Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang mengatakan Umno melakukan terlalu banyak "dosa" terhadap PAS terutamanya kepada akar umbi parti itu.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Dzulkefly Ahmad meminta kepimpinan PAS menyatakan dengan jelas sikap mereka terhadap tawaran terbuka Najib itu.

Katanya, ini kerana faktor itulah yang selama ini menjadi antara punca perpecahan dalam PAS sehingga membentuk Amanah.

"Inilah isu yang berlegar selama ini dalam PAS sehingga melahirkan golongan pemimpin yang selama ini turut bertanggungjawab mengangkat parti, bekerjasama senyap-senyap dengan Umno.

"Inilah selamanya ‘duri dalam daging’ dalam PAS," kata bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

"PAS perlu secara berani nyatakan dengan jelas. Kalau bersetuju, kata bersetuju. Kalau tidak, katakan tidak.

"Kerana ia akan menentukan perjuangan Islam yang dibawa PAS merentasi semua atau terkongkong dalam kepentingan Melayu/Islam sahaja.

"Ini akan dapat memperjelaskan kedudukan PAS dalam kerjasama dengan parti lain, khasnya dalam Pakatan Harapan dan di penghujungnya, kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang," kata Dzulkefly.


Tiada ulasan: