Khamis, 10 Disember 2015

Najib saran ahli Umno ‘hulur silaturahim’ kepada PAS




Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak seru ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 Disember, 2015.Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak seru ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyeru ahli parti Melayu itu menghulurkan salam ukhuwah dan silaturahim kepada PAS, lebih-lebih lagi parti Islam itu kini sudah meninggalkan pakatan pembangkang. 
 
Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno hari ini berkata, sistem 2 parti juga tidak boleh diamalkan di negara ini, sebaliknya rakyat kini berdepan pilihan antara pakatan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno ataupun parti pembangkang yang diketuai DAP dalam Pakatan Harapan.

"Maka saudara dan saudari, kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, apabila PAS, kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

"Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat-Nya," kata Najib di hadapan 2,654 perwakilan dari 191 bahagian Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. 
 
 "Contoh yang sangat ketara sekarang, betapa DAP cuba ‘menguasai’ parti lain dalam pakatan pembangkang.

"Ini dapat kita lihat, bila mana ada di kalangan pemimpin mereka, yang menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

"Lebih-lebih lagi DAP di Sarawak, dengan angkuhnya memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR, kerana ingin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak nanti.

"Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada 1995. Bergabung semula pada 1999. Kemudian 2004, berpisah lagi,” katanya.

Najib berkata, DAP juga cuba lagi untuk berpakat, pada 2008 dan 2013, dengan PAS dan PKR.

"Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah 3 kali jatuh talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pula dengan Pakatan Harapan, tak taulah talak berapa nak pakai nanti."

Malah, Najib berkata, gabungan pembangkang tidak peduli apabila PAS disingkirkan daripada pakatan mereka.

"PAS disepak dan diterajang keluar daripada Pakatan, mereka macam itu saja."

Sehubungan itu, katanya, sistem 2 parti itu juga berbahaya kepada perjuangan Umno.

"Bersabit perkara ini, selagi saya memimpin, seruan saya kepada rakan dan saudara saudari seperjuanganku sekalian, kita sekali-kali tidak akan membiarkan individu tertentu bercakap sembarangan, kononnya kita perlu menjurus kepada sistem 2 parti.

"Mana boleh! Mana boleh perkara ini kita terima? Bukan atas dasar kita tidak faham pengertian demokrasi, tetapi, dari sudut falsafah dan perjuangan Umno itu sendiri, yang memartabatkan bangsa dan mempertinggi syiar Islam.

"Saya ingin bertanya kepada perwakilan dan ahli Umno semua, takkan kita tidak faham akan bahayanya, akibat seruan yang tidak bijaksana itu," katanya.

Najib berkata, realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat hanya mempunyai 2 pilihan, sama ada satu gabungan parti politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi DAP.

Sekiranya Umno ditolak, katanya, negara ini akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.


Tiada ulasan: