KUALA LUMPUR, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dilantik sebagai penasihat tertinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya menerima tawaran Pas yang mahu bertindak sebagai penasihat kerajaan.

Ahli Parlimen DAP-Segambut, Lim Lip Eng berkata dengan melantik Ahli Parlimen Marang tersebut sebagai penasihat maka wajarlah Perdana Menteri memberhentikan penasihat-penasihat rasmi bertaraf menteri yang kini berkhidmat dengan beliau.

Menurutnya, kesemua 11 orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga sudah tidak diperlukan lagi untuk membantu dan menasihat Najib.

“Amat wajar penasihat-penasihat tersebut diberhentikan kerana Hadi boleh bertindak sebagai penasihat utama (supreme adivisor) kepada Najib.

“Mereka ini tidak diperlukan lagi kerana Hadi boleh memberikan nasihat kepada pelbagai isu kerana beliau adalah ‘Mr Know It All’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin Hadi yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu menegaskan tawaran Pas sebagai penasihat kepada kerajaan pusat bukan kerana mahu mendapatkan pangkat sebaliknya sebagai usaha untuk menyelamatkan negara.

Jelas Hadi, sudah tiba masanya Pas campur tangan dalam urusan negara untuk menasihati pemimpin agar mentadbir mengikut tatacara Islam.

“Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat.

“Permulaannya dengan menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran, kalau mereka tidak berubah caranya adalah mengambil alih kuasa tanpa dendam kesumat,” katanya dalam kenyataan.