Rabu, 16 Disember 2015

Najib diejek pemain Dota di Internet

MALAYSIAKINI


 


Penampilan perdana menteri dalam kejohanan Sukan Siber Malaysia di Putrajaya Ahad lalu menerima cemuhan peminat Dota 2- salah satu permainan video atas talian paling popular di Malaysia.

Rasa tidak senang mereka terhadap Datuk Seri Najib Razak itu dinyatakan melalui komen di Facebook dan Instagram milik 'Team Secret', sebuah pasukan Dota 2 terkemuka dari eropah.

Team Secret yang menjadi tetamu istimewa kejohanan itu menyiarkan sekeping gambar mereka bersama Najib yang turut menjadi tetamu kehormat kejohanan tersebut
"Kami mendapat penghormatan tinggi hari ini untuk bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia," tulis Team Secret pada keterangan gambar tersebut.
Bagaimanapun, bagaikan memberi 'bola tanggung' - peminat Dota di Malaysia terus melemparkan kritikan terhadap Najib.
"Beliau (Najib) mempunyai lebih banyak rahsia berbanding Team Secret," tulis pemilik akaun Facebook, Wei Han.
Komen Wei Han itu mendapat perhatian paling tinggi dengan 7,300 'like' sehingga petang semalam.
"Najib lebih cepat meraih keuntungan berbanding Alchemist," kata Fakhri Baharuddin yang menyifatkan Najib lebih hebat berbanding hero Dota 2 iaitu Alchemist.
Bagi Muhammad Aizam pula, Najib adalah Bounty Hunter, satu lagi watak hero dalam Dota 2.
"Bounty Hunter di Malaysia, hati-hati," katanya.
Kedua-dua watak hero Dota 2 itu mempunyai kelebihan untuk mendapatkan lebih banyak ganjaran berbanding watak lain.
Selain itu, Bz Lau berkata, Team Secret sepatutnya berasa malu kerana bergambar dengan Najib.
Team Secret sertai Umno?
Kritikan berterusan juga dibuat melalui Instagram Team Secret dengan pelbagai komen pengikut mereka.
Danielthelee96 secara berjenaka berkata, Najib akan menjadi kapten Team Secret seterusnya, manakala man_kingtom mengeluh "GG, Team Secret menyertai Umno"
GG adalah satu singkatan bagi "permainan yang baik" sering digunakan oleh pemain Dota 2 yang menandakan permainan berakhir.
Sementara itu, fadzlanmokhtar menyelar Najib dengan isu RM2.6 bilion dalam akaun banknya, manakala kiang_yit bertanya: "Di mana RM2.6 bilion?"
Terdahulu, Najib menafikan beliau menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi, dan menegaskan wang RM2.6 bilion itu merupakan sumbangan politik. Manakala siasatan terhadap isu tersebut masih diteruskan.
Topik popular dalam forum di Amerika
 
Seorang pemain Dota 2 yang berada sejauh 10,000 kilometer juga mengejek Najib mengenai isu tersebut melalui satu artikel yang disiarkan di website popular di Amerika, Reddit.

Dengan tajuk 'PM Malaysia mendapatkan derma dari Team Secret', artikel berbentuk satira itu menceritakan bagaimana Najib menemui cara baru bagi mengumpul dana untuk Umno selepas mendapat RM2.6 bilion daripada penderma Arab.
Dalam satira itu juga, Najib memohon kerjasama dengan Team Secret dan mencadangkan untuk menukar nama pasukan tersebut kepada 1Secret - yang jelas merujuk kepada slogan '1Malaysia'.

Mendapat perhatian daripada pemain Dota 2, artikel itu juga merujuk kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Perbincangan bertemakan 'Malaysia' menjadi topik kedua paling hangat dalam forum tersebut.
Kepentingan politik
Populariti Dota 2 di kalangan belia Malaysia juga semakin mendapat perhatian ahli-ahli politik yang kini berusaha mendekati mereka melalui penganjuran pertandingan cybergame.
Antaranya, kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan yang menganjurkan pelbagai kejohanan sepanjang tahun lepas.
MCG hujung minggu lalu dianjurkan bersama oleh Tune Advertising dan NGO Suara Anak Muda 1Malaysia yang diketuai exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah.
Penaja lain adalah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Malaysia Multimedia dan Komunikasi, Perbadanan Pembangunan Multimedia, Telekom Malaysia dan Astro.
Pemenang MCG akan dipilih mewakili Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan e-sukan antarabangsa.
Bagaimanapun, seorang pemain veteran Dota 2 memberitahu Malaysiakini, langkah Najib untuk mendapatkan perhatian di kalangan peminat permainan itu hanya 'memakan diri'.
"Sebagai pemain, mereka berasa ahli politik menceroboh ruang mereka untuk kepentingan politik. Sebab itu ramai pemain bertindak balas dengan melahirkan rasa kurang senang mereka melalui komuniti Dota 2 dunia.
"Mudah-mudahan, pemain Dota 2 profesional akan lebih berhati-hati di masa akan datang ketika berhadapan dengan pihak berautoriti," katanya.

Tiada ulasan: