Sabtu, 12 Disember 2015

'Mukhriz seronok akhirnya boleh umum nama Muhyiddin'

Shakira Buang


 


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir malam ini meraikan penyokongnya serta perwakilan Umno negerinya dalam sebuah majlis ramah mesra di Kuala Lumpur.

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam acara itu, yang rata-rata turut mengikuti perhimpunan agung Umno di ibu negara yang berlangsung sejak Isnin.

Secara sinis, pengerusi Perhubungan Umno Kedah itu berkata beliau begitu seronok kerana berpeluang mengumumkan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin – timbalan presiden Umno yang terpinggir kerana kelantangannya.

"Seronok dan pelik pula saya apabila dalam satu majlis boleh umum nama Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Mukhriz kepada hadirin sambil disambut sorokan 'hidup Tan Sri'.

Muhyiddin kali ini hadir dalam perhimpunan agung Umno dalam keadaan tidak langsung diberi peluang berucap kepada perwakilan.

Ini berlaku setelah beliau lantang mengkritik dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Beliau dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal juga digugurkan daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Muhyiddin dan Shafie turut hadir dalam acara itu, selain bekas perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bapa Mukhriz.

Menurut Mukhriz beliau menjangkakan majlis malam ini akan berlangsung seperti biasa namun ia menjadi luar biasa dengan kehadiran begitu ramai penyokong di luar jangka.

"Kita berkumpul malam ini demi darah daging kita. Meskipun saya mengambil risiko tetapi saya tidak mengutamakan jawatan kerana ia tidak boleh dibawa ke mana.

“Bila kita mati kita hanya akan bawa kain kafan dan doa anak-anak yang soleh," ujarnya.

Malah, Mukhriz menegaskan apa yang dilakukan ini bukanlah satu kesalahan.

"Dalam perlembagaan parti tidak menyatakan kita salah atau melanggar peraturan jika berkumpul sebegini. Maka bergembiralah anda semua selagi kita ada hak untuk berkumpul," katanya.

Bagaimanapun beliau tetap melahirkan perasaan bimbang jika hak dan kebebasan tersebut dirampas oleh kepimpinan parti.

Silap sekat Muhyiddin

Dalam ucapan Mukhriz juga beliau menyatakan tindakan menyekat Muhyiddin dari berucap adalah kesilapan.

"Keputusan ini satu kesilapan dan akan merugikan kita semua," tegasnya.

Mukhriz juga mengingatkan pengikutnya supaya tidak takut pada bayang-bayang sekiranya mahu parti yang memperjuangkan nasib Melayu itu terus kekal relevan.

“Kita kena tingkatkan tekanan kerana kalau kita seorang mungkin tak terkesan.

"Tetapi kalau setiap seorang daripada saudara dan saudari ini, dari seluruh negara ibarat titik-titik air yang jatuh di lautan. Setiap seorang daripada saudara saudari ini, daripada Kedah akan jadi arus, arus jadi gelombang, gelombang jadi tsunami yang begitu besar," tegasnya.

Turut kelihatan pada majlis ini sekumpulan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia yang dikenakan tindakan tatatertib hari ini oleh lembaga disiplin.

Sembilan daripada mereka hilang kelayakan untuk memilih selama enam tahun berkuatkuasa serta merta.
Mereka juga hadir dengan memakai baju T tertulis 'Berani kerana benar'

Tiada ulasan: