Isnin, 14 Disember 2015

Muhyiddin Tak Mengalah

Oleh: JOCELINE TAN 
 
 
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
 
PETALING JAYA: Suasana perdamaian pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno 2015 mungkin tidak kekal apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai sedang merancang satu lagi ceramah politik untuk menyuarakan pandangan beliau.

Timbalan presiden Umno itu, menurut sumber yang rapat dengan beliau, dikatakan telah bersedia untuk mempertahankan dirinya mengenai isu-isu yang dibangkitkan semasa perhimpunan agung.

Menurut sumber itu, Muhyiddin mahu menangkis apa yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar presiden dan juga semasa ucapan penggulungan.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mahu memberi tindak balas kepada serangan dan kritikan oleh beberapa perwakilan yang berucap semasa perbahasan.

Sehingga kini masih tidak jelas sama ada program baharu itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sekali lagi atau lebih dekat dengan kediamannya di Johor.

Muhyiddin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal bergabung untuk satu acara di Kampung Baru beberapa hari sebelum perhimpunan agung untuk mengkritik pengendalian Najib terhadap isu 1MDB dan dasar-dasar kerajaan yang lain.

Ceramah seterusnya itu adalah sebagai ‘ucapan penggulungan’ di mana Muhyiddin tidak dibenarkan melakukannya semasa perhimpunan parti.

"Dia merasakan bahawa dia perlu menjawab tuduhan tersebut mengenai kepimpinan dan prestasinya sebagai orang No.2 dalam parti," kata sumber itu.

Najib telah menghulurkan salam perdamaian beliau pada hari terakhir perhimpunan agung apabila beliau mengisytiharkan ingin menjadi seorang yang ‘berjiwa besar’ mengenai apa yang telah berlaku.

Tetapi Muhyiddin, berdasarkan bahasa badannya, kelihatan nekad. Kedua-dua pemimpin tertinggi itu berjabat tangan tetapi tidak berpelukan antara satu sama lain, walaupun beberapa perwakilan telah menyatakan hasrat mereka untuk melihat mereka berbuat demikian.

Mereka yang berdiri berdekatan dua pemimpin ini perasan bahawa adegan berjabat tangan itu kelihatan seperti tidak dilakukan sepenuh hati - hanya menyentuh hujung jari dan apabila Najib cuba mengangkat tangannya lebih tinggi, Muhyiddin tidak memberikan respons positif.

Muhyiddin seolah-olah tidak mahu menyambut salam silaturrahim dan perdamaian  oleh Najib.

"Terdapat satu usaha tetapi adakah ia disambut?,” kata sumber Muhyiddin itu.

Difahamkan bahawa Muhyiddin tidak mengambil berat kenyataan Najib bahawa ‘sesiapa yang menentang presiden, maka dia juga menentang parti’.

Selain itu, beliau juga telah menulis di akaun Facebooknya beberapa jam selepas ucapan perasmian Najib, yang menyifatkan bahawa Muhyiddin tidak melakukan tugasnya sebagai orang No.2.

Muhyiddin menulis bahawa beliau telah bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap satu demi satu pilihan raya kecil sejak 2009.

Beliau juga membidas kembali kenyataan Najib dengan mengatakan bahawa kritikan terhadap kepimpinan yang dibuat adalah berdasarkan aduan daripada akar umbi.

Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah berkata para perwakilan telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu parti itu untuk terus bergerak ke hadapan dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Hampir setiap penceramah menyatakan hasrat untuk terus berjuang dan mahu perbezaan pendapat diakhiri.

”Saya tidak tahu apa lagi mahu dikatakan tetapi jika Muhyiddin berkeras untuk membawa beberapa isu di luar, dia tidak menghormati apa yang perwakilan mahu.

"Presiden telah menghantar satu isyarat jelas bahawa jika terdapat percanggahan pendapat, beliau (Muhyiddin) boleh pergi dan berjumpa dengannya atau membangkitkannya kepada Majlis Tertinggi," kata Faizal.

Muhyiddin boleh dikenakan tindakan disiplin jika beliau bertindak untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka kepada orang ramai.

Beliau hampir dipecat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang terakhir pada malam Rabu lalu apabila salah seorang ahli Majlis Tertinggi menyenaraikan ‘lapan sebab mengapa Timbalan Presiden itu perlu disingkir.

Bagaimanapun, Najib enggan bertindak terhadap timbalannya dan segera mengakhiri mesyuarat itu, walaupun beberapa orang yang lain masih mahu bercakap.


Tiada ulasan: