KUALA LUMPUR,  Dua pimpinan ‘menongkah arus’ Umno dilihat wajar berundur atas tujuan memelihara parti.

Penganalisis Politik Seranta, Prof Dr Baharuddin Aziz berkata langkah itu dilihat jalan terakhir yang ada selepas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan memohon maaf kepada Presidennya, Datuk Seri Najib Razak atas perselisihan yang berlaku.

“Itu yang kita harapkan (Muhyiddin dan Najib) berdamai, tetapi dalam konteks ini saya rasa itu satu pemameran.

“Bersatu itu penting, tetapi kalau kita mempunyai pendirian, ataupun idea-idea yang tersendiri. Kalaulah saya Tan Sri Muhyiddin pun, lebih baik saya bagi masalah kepada Umno dan memecah belahkan atau menggangu gugat Umno atau ahli-ahli Umno itu sendiri, lebih baik saya berundur.

“Saya sendiri letak jawatan daripada Umno, dan bawa hala tuju saya sendiri dari mana nak ke mana..daripada duduk dalam itu main belakang (tikam) dan sebagainya, jadi saya rasa demi kebaikan parti itu sendiri lebih baik Tan Sri Muhyiddin itu sendiri dan juga kalau terlibat Datuk Seri Shafie berundur dari arena kancah itu…tunggu masa, kalau sudah okay masuk balik ke macam mana,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Beliau yang hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2015 sebagai pemerhati melihat bahawa Najib sudah melakukan yang terbaik untuk menjelaskan mengenai isu yang mengundang kontroversi di dalam parti iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga derma dana politik RM2.6 billion.

Malah jelasnya, perwakilan di lihat mampu menerima penjelasan yang diberikan Perdana Menteri itu yang mana selama ini menjadi pertikaian antara rakyat dan juga ahli-ahli politik.

“Saya sebagai pemerhati, saya dapati bahawa taklimat Presiden, Datuk Seri Najib Razak kepada perwakilan bahawa Presiden telah memberi penjelasan mengenai isu-isu yang terbuku di dalam hati dan juga pemikiran minda.

“Yang saya boleh sebut, proses penjernihan, dimana Presiden telah mengambil usaha supaya tak lari dari isu..dia terbuka, dia jelaskan dan terangkan bagaimana dan apa kepada perwakilan.

“Saya perhatikan, 2,600 perwakilan dari 191 bahagian telah mendapat penerangan yang begitu teliti mengenai apa-apa isu yang telah dibangkitkan yang lama terbuku dalam hati nurani para ahli Umno itu sendiri,” tambah pensyarah jemputan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu lagi.

Khamis lalu melalui ucapan dasar Presiden, Najib sudah menghulurkan salam perdamaian kepada Muhyiddin dan juga Shafie atas pertelingkahan yang berlaku di antara mereka.

Namun, hari ini, kedua-dua individu berkenaan menyatakan keengganan untuk berdamai sebaliknya bertegas bahawa masalah yang timbul perlu diselesaikan.