Rabu, 2 Disember 2015

Muhyiddin dakwa diri ibarat tunggul atas pentas Umno

Shakira Buang


 


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kehadiran beliau pada perhimpunan agung Umno yang dijadual berlangsung 8 Disember ini ibarat 'tunggul'.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata ini kerana beliau mahu berucap pada perhimpunan tersebut namun dimaklumkan tidak boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun, Muhyiddin dengan nada kesal menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi parti itu.

"Saya nak berucap, tapi saya diberitahu tak boleh berucap. Saya tak boleh berucap (di perasmian perhimpunan agung) Wanita, Puteri, Pemuda. Saya diberitahu tak boleh terlibat dalam penggulungan.

"Saya jadi tunggul saja duduk di atas pentas," kata Muhyiddin ketika ditemui pemberita di lobi Menara Datuk Onn, PWTC selepas memberi sokongan moral kepada sembilan ketua cawangan Bahagian Telok Kemang Negeri Sembilan yang dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno petang ini.

Mengulas lanjut, beliau yang disingkirkan dari Kabinet Julai lalu berkata apa yang berlaku dalam parti hari ini membuktikan bahawa ruang demokrasi di dalam Umno semakin terhakis.

“Akar umbi Umno hari ini mahu menunjukkan bahawa jika seorang timbalan presiden tidak boleh bersuara, bermakna akar umbi juga tidak dibenarkan bersuara,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau pula yang akan berhadapan dengan tindakan disiplin, termasuk pemecatan kerana menyatakan sokongan kepada ketua cawangan berkenaan, Muhyiddin berkata itu terpulang kepada keputusan kepemimpinan parti.

"Bagi saya apa yang penting adalah perjuangan yang benar... saya sudah nyatakan saya bersedia untuk hadapi segala kemungkinan walaupun saya tak mahu diri saya dipecat," katanya.

Katanya, beliau masih sayangkan Umno dan akan akur jika parti memutuskan untuk memecatnya.

“Walaupun saya tidak mahu dipecat, tetapi jika mereka nak hukum saya, saya sedia terima,” katanya.
Muhyiddin juga mengesahkan kehadirannya pada Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli akar umbi Umno menggunakan perhimpunan agung itu sebagai platform meluahkan apa yang terbuku di hati demi memastikan survival parti pada masa depan.


Tiada ulasan: