PUTRAJAYA,  Mereka yang baru memeluk agama Islam tidak patut didiskriminasi oleh komuniti Muslim dan dianggap sebagai ‘Muslim kelas kedua’.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penaung Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim), berkata Muslim perlu menganggap mualaf sebagai saudara.

“Tidak boleh ada diskriminasi. Kadang-kadang kita merasakan mereka Muslim kelas kedua. Itu salah. Tiada perbezaan antara seorang Muslim dan yang lain kecuali dari segi taqwa.

“Itu (taqwa) merupakan satu-satunya perkara yang membezakan kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Serantau Muslim Berbilang Kaum anjuran Perkim, pada Jumaat.

Seminar dua hari bermula semalam bertujuan untuk mengukuhkan solidariti Muslim dan menjadi platform mengumpul idea dan pendapat dalam menyatukan masyarakat Islam.