KUALA LUMPUR,  Peluang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddn Yassin untuk menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 akan ditentukan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika mengulas ucapan penggulungan PAU yang mungkin memecah tradisi parti, dengan menyaksikan hanya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berucap.

“Pada pandangan saya sehingga ke hari ini, presiden cukuplah, tak payah orang lain.

“Itu pandangan saya, tunggu bila mesyuarat Majlis Tertinggi Khas nanti barangkali (akan putuskan),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno, di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan dirinya sekadar menjadi tunggul di atas pentas, jika beliau tidak dibenarkan menyampaikan ucapan penggulungan pada PAU 2015.

Bagaimanapun beliau akan menghormati keputusan itu, meskipun haknya untuk berucap bagi merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umni serta pada sesi penggulungan dinafikan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan membidas dakwaan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang mendakwa beliau belum menerima surat pemecatan rasmi daripada parti.

“Dah hantar surat (kepada Hamidah)…dia ini macam Saifuddin (Abdullah) jugalah…kita dah hantar surat, dia kata tak terima surat.

“Saya dah hantar surat…dan dia bukan perwakilan (dipercayai merujuk kepada kenyataan Hamidah semalam yang mengatakan akan tetap menghadiri PAU 2015),” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Semalam, Hamidah turut mengingatkan Umno supaya tidak menjadi parti pasar, ekoran tindakan parti itu memecatnya tanpa mengikut prosedur.