Rabu, 9 Disember 2015

Mohd Najib: Kuat Tapi Takut

A Kadir Jasin



LAGI berita buruk untuk Melayu, bangsa terbesar dan termiskin di Malaysia, menjelang pembukaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang akan dirasmikan oleh Presidennya, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, esok.
 
Masalah ekonomi terus menekan. Hari ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri mengaku rakyat jelata sudah tidak mampu lagi menanggung beban kenaikan kos sara hidup.

Berucap merasmikan persidangan tahunan Pemuda di Pusat Perdagangan Antarabanga Putera (PWTC) di ibu negara, beliau menggesa kerajaan yang dipimpin Umno agar tidak menaikkan lagi harga barang dan perkhidmatan.



Khairy: Betul berani atau dia pun kembiri?

Masalahnya, kenaikan harga barang dan perkhidmatan adalah akibat Plan Transformasi Ekonomi Mohd Najib sendiri. Dasar fiskal dan pasaran terbuka pentadbiran Mohd Najib menyebabkan harga naik. Beliau anti-subsidi. Hatta subsidi beras hancur makanan orang miskin pun dihapuskannya.

Mohd Najib lebih rela menyusahkan rakyat jelata dan menerima maki hamun mereka daripada melanggar perintah Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) dan agensi-agensi penarafan antarabangsa yang mahu kita menghapuskan subsidi dan membuka pasaran kita seluas-luasnya.

Hari ini juga, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam kad laporan keduanya mengenai agenda ekonomi Bumiputera berkata, banyak cabaran dalam usaha mencapai matlamat 30 peratus pemilikan korporat oleh Bumiputera menjelang tahun 2020. Pegangan korporat Bumiputara kini sekitar 22 peratus sahaja.

Banyak lagi berita buruk mengenai Melayu dan Umno. Melayu dipandang begitu rendah sehingga seorang India tempatan bernama (Tan Sri) Kenneth K. Eswaran berani memberi amaran kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Umno (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin agar jangan cuba menjatuhkan Mohd Najib menggunakan taktik yang mengganggu gugat kestabilan negara.



Eswaran: Kawan akrab keluarga Mohd Najib


Semua perkembangan ini tidak membantu meyakinkan orang Melayu di dalam dan luar Umno bahawa masa depan mereka terjamin dan bangsa Melayu dihormati di bawah kepemimpinan Mohd Najib.

Mohd Najib Menggoda PAS

Satu lagi berita buruk bagi Mohd Najib adalah percubaan beliau menggoda Presiden PAS, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, agar berkongsi ranjang dengannya sudah mula ditendang oleh banyak pihak di dalam PAS.

Dalam temu ramah dengan media arus perdana (MAP) yang disiarkan pada 8 Disember, Mohd Najib berkata, ada tanda-tanda yang PAS semakin menerima baik cadangan kerjasama Umno-PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
 
Percubaan ajak PAS kongsi ranjang

Dengan Umno dalam keadaan lemah dan parti-parti BN, kecuali di Sarawak, terus ditolak oleh pengundi bukan Melayu, Mohd Najib memerlukan PAS untuk memperkukuhkan sokongan Melayu.


PAS pula kehilangan ramai pemimpin berwibawa dan berfikiran terbuka apabila golongan agama menang besar dalam pemilihan parti awal tahun ini. Sebahagian mereka keluar PAS dan menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GBH).

Penolakan ini bukan terhad kepada akar umbi PAS saja. Akar umbi Umno pun besar kemungkinan memberikan reaksi yang sama kerana selama ini merekalah berperang habis-habisan dengan PAS di peti undi.

Mohd Najib Kuat Tapi Takut

Walaupun Mohd Najib telah memperkukuhkan kedudukannya dalam kerajaan dan parti, beliau menghadiri PAU kali ini dalam keadaan sangat takut.

Sejak beberapa bulan lalu, tanpa segan silu, beliau telah menggunakan saluran politik, legislatif dan eksekutif untuk membolot kuasa dan mematikan penentangan.

Dalam arena politik, beliau telah memecat penentang-penentang dalam Umno. Melalui kuasa eksekutif beliau menggugurkan Muhyuddin dan (Datuk Seri) Shafie Mohd Apdal daripada Kabinet.

Beliau menggunakan kuasa pentadbiran memecat kakitangan awam yang disyaki tidak menyokong beliau dan menggantikan mereka dengan orang pilihan.

Tetapi beliau tetap takut hatta kepada ahli partinya sendiri. Kerana ketakutan beliau itulah perhimpunan yang sedang berlangsung sekarang berupa yang paling terkongkong dalam sejarah Umno.

Isu berkaitan 1MDB dan derma/sedekat RM2.6 bilion yang beliau terima tidak boleh dibangkitkan. Perwakilan, resolusi, pembentang resolusi, pembahas dan pemerhati disaring, ditapis, diberi indoktrinasi dan masa perbahasan dipendekkan.

Kalau segala syarat itu dipatuhi, maka yang hadir persidangan kali ini adalah kembiri. Yang lelaki menderita koro dan perempuan dingin (frigid).

Tetapi kadang kala, kambing kembiri (kambing yang dikasi) pun kalau terkepung atau diacah akan melawan.

Jadi apakah akan ada pembentang ketetapan dan pembahas yang tidak berjaya dikasi “anunya” akan bangkit membahaskan dua isu yang diharamkan itu?

Ditakdirkan semua pembentang ketetapan, pembahas dan perwakilan sudah dikasi atau dikunci “anunya” atau sarang mereka sudah diisi telur emas, maka jadilah PAU kali ini persidangan satu agenda, iaitu sokong Presiden.

Sekali gus jadilah kepemimpinan Umno kumpulan manusia hipokrit, tanpa hati nurani (conscience) dan tanpa prinsip.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: