Sabtu, 5 Disember 2015

Mat Sabu jurucakap DAP, kata PAS

THE MALAYSIAN INSIDER
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan Isis juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Disember, 2015. 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan Isis juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) hanya mengesahkan yang presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu bertindak sebagai jurucakap kepada DAP, kata parti Islam itu hari ini. 
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, ia juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP.

Memetik sumber dalaman, Mustafa berkata, kenyataan Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sebenarnya tidak dipersetujui sebahagian besar pimpinan utama Amanah, tetapi beliau terus membuat kenyataan tanpa merujuk mereka.

Katanya, Mat Sabu dilihat lebih mementingkan survival politiknya sendiri berbanding kepentingan Amanah, yang beliau sendiri sedar kini kehilangan “steam” dan momentum selepas hanya beberapa bulan ditubuhkan. 
 
"DAP di bawah Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

"Oleh itu, Mat Sabu cuba mengaitkan PAS dengan Isis untuk menakutkan pengundi Cina.

"Khabarnya, Mat Sabu juga mendapat jaminan Lim untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU ke-14 akan datang, sama ada di bawah simbol Amanah atau DAP," katanya.

Mustafa berkata, ini kerana Mat Sabu sedar kedudukannya sebagai presiden Amanah goyah kerana pengaruh kumpulan seperti Ikram, Alami dan lain-lain yang mula meresap dalam Amanah dan golongan ini tidak senang dengan latar belakang Mat Sabu.

"Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah menjadi alat atau jurucakap DAP. Apa lagi persepsi umum sudah melihat Amanah tidak lebih daripada proksi DAP," katanya.

Bagaimanapun, kata Mustafa, walaupun tuduhan itu berniat jahat, provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS.

"Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat yang Amanah dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti, bukan lagi sekadar satu persepsi," kata Mustafa. 
 
 

Tiada ulasan: