Ahad, 20 Disember 2015

Malaysia berpuas hati Islam jadi Agama Persekutuan




Oleh Subky Latif 


MEMANG patut orang Malaysia bersyukur kerana dirakamkan dalam perlem - bagaannya Islam adalah agama persekutuan. Tidak banyak, malah tidak ada negara dapat bubuh begitu dalam perlembagaannya.Termasuk negara umat Islam sendiri.

Saya tidak tahu apa isi perlembagaan yang menama rasmikan negaranya sebagai republik Islam seperti Iran dan Pakistan.

Mana lebih baik isytiharkan nama negara itu negara Islam dengan rakam dalam perlembagaan Islam adalah agama persekutuan.

Apapun lebihlah kita dibandingkan dengan Pulau Maldives, Turki bahkan Mesir.

Tetapi tak lawan Brunei. Dinamainya Brunei Darussalam dan dibubuhnya ia negara Islam Melayu beraja. Dan sekarang ia hendak tiru sikit sebanyak yang Nabi s.a.w. buat di Madinah.

Tentang isi perlembagaan kita itu mungkin beza dengan negara Islam lain, kita nama anak yang baru lahir Gajah Mada dan catat dalam kad pengenalannya beragama Islam. Manakala orang lain namakan anaknya Muhammad bin Abdullah tetapi tidak sebut agamanya dalam kad pengenalan.

Ke mana-mana pergi orang tahu Muhamad Abdullah itu Islam tetapi Gajah Mada itu tidak diketahui agamanya hinggalah dia singgah solat di masjid.

Para serjana termasuk ulama rasmi kira memadai dengan catatan perlembagaan itu tertolaklah ia sebagai negara sekular, kerana mengikut kamus sekular itu tiada kaitan dengan agama.

Perlembagaan Malaysia bubuh Islam agama persekutuan. Maka dikaitkan ia dengan Islam, nescaya bukanlah ia sekular. Ia menyebabkan cendekiawan Islam kita berpuas hati, Islamlah negara kita. Tak usah takwil-takwil lagi!

 Macam laporan sukan. Pasukan bola yang kalah dilaporkan sebagai terpaka berpuas hati kalah satu gol kosong. Ia kalah tetapi ia berpuas hati dengan kalah itu. Kalah pun seronok juga?

Dengan catatan dalam perlembagaan itu sudah elok. Tetapi adalah negara Islam itu sudah elok dengan rakaman perlembagaan saja?

Mao Zedong dulu tidak setuju dengan komunis Soviet pasca- Stalin ialah tidak berjalan sistem komunisme di Kesatuan Sovie seperti yang difahami oleh Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin. Bagi Mao negara komunis apa namanya jika tidak berjalan di dalamnya sistem, hukum, aturan dan peraturan komunis. Padanya negara komunis itu ada di China saja. Komunis di Soviet dikira revisionis.

Kira-kira komunis murtad. Macam sekarang ini semua komunis sudah murtad.

Bolehkah orang Islam berpuas hati dengan Islamnya Malaysia sekadar rakaman dalam perlembagaan saja? Islam itu tidak sekadar sebuah dokuman yang bernama perlembagaan, tetapi apa yang berjalan dan terlaksana dalam negara itu.

Ibu bapa tidak boleh berbangga dengan menamakan anak yang baru lahir Muhammad bin Abdullah tetapi tidak memikirkan tentang sekolah dan pendikan anak itu.

Orang Melayu besar hati kerajaan British dirikan Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk anak-anak orang kenamaan dan Melayu yang cerdik. Tetapi akidah dan pendidikan agama anak itu tidak dipedulikan.

Keluaran MCKK terkenal sebagai orang Melayu yang pintar dan berpengetahuan tinggi. Mereka kekal sebagai orang Islam tetapi fikirannya dan kehidupan sekular.

Selepas merdeka dengan perlembagaan Islam agama persekutuan, sistem pendidikan penjajah diteruskan bahkan dikuburkan jawi.

Tidak dicatat dalam perlembagaan bahawa sekular dijamin tetapi pentadbiran, perundangan, pemerintahan diisi dengan fahaman sekular.

Anak yang bernama Muhammad tadi pandai dan bijak, tetapi kehidupannya tungganglanggang.

Dia tidak keluar Islam tetapi dia jadi rakyat yang runtuh akhlak. Perlembagaan tidak berubah tetapi rakyat dan pemimpinnya antidakwah.

Islam yang Allah tuntut dan Nabi ajar anak diajak solat ketika dia tujuh tahun dan rotan kalau tidak solat bila berusia 10 tahun. Muhammad yang lulus Maktab Melayu belajar solat masa hendak nikah. Itu pun kerana peraturan baharu syarat orang nikah ada sijil kursus kahwin.

Sijil kursus kahwin adalah seperti tauliah mengajar kepada ustaz. Ia adalah untuk orang tidak dipastikan tahu pengetahuan agama.

Sekolah tidak menyediakan keperluan itu. Sepatutnya sekolah menydiakan membekalkan pengetahuan fardu ain. Segala yang dibuat dalam kursus nikah itu adalah dalam kurikulum sekolah.

Yang disibukkan kerajaan Malaysia ialah untuk mengadakan pengetahuan seks.

Kelas di Johor sejak sebelum merdeka, lulusannya boleh jadi kadi. Tidak perlulah mereka mengambil tauliah. Jika perlembagaan itu lambang kedaulatan Islam, pemegang sijil SPM patut lengkap dengan kelayakan empat sanawi.

Apa yang terjadi dalam pembangunan negara di bawah payung perlembagaan yang ulama pun tidak sensitif dengan Islam berjalan baik atau sebaliknya.

Kita tidak kata mereka menyembah pemimpin kerajaan, tetapi tidak mustahil kemungkinan mufti cium tangan menteri yang hidup dan pemikirannya persis sekular.

Ada yang bangga dengan propaganda bahawa Islam di Malaysia adalah lebih baik dari lain-lain negara Islam. Isi perlembagaan adalah dalihnya. Lebihnya Malaysia ada, tetapi tidak dalam semua perkara. Ada yang lebih di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji.

Tapi negara-negara Islam yang lain lebih dalam perkara lain pula.

Allah tidak longgok kelebihan itu pada satu bangsa dan negara saja.

Satu negara itu sama seperti lainlain negara, ada kelebihan dari sebahagian yang lain.

Jika pun kita dikira lebih dari yang lain, justeru yang lain itu lebih teruk, tetapi ini tidak berereti kita sudah sempurna. Kerana orang lain itu terlalu teruk maka kita kurang teruk, lalu kita seronok.

Seperti solat fardu lima kali. Orang lain solat Jumaat saja. Kita solat tiga waktu. Kita bangga kerana kita solat sekalipun tiga waktu, orang lain tidak solat langsung.

Mungkin kita puasa 20 hari saja tapi orang lain tak puasa langsung.

Maka patutkah kita bangga sebagai orang Islam puasa 20 hari sedang orang tidak puasa langsung dan kita solat tiga waktu sehari sedang orang lain tak solat langsung? Janngan kelebihan seperti menjaadikan kita puas hati dengan Islam kita sedang kelebihan ada itu belum menjadikan kita sudah menyempurnakan tanggungjawab kita.

Jangan kerana kekurangan negara Islam lain, kita jadikan kelemahan Islam kita memadai dan berpuas hati hingga kita kata kita yang terbaik dan tidak rasa perlu membuat yang terbaik dan mengatasi kekurangan kita! Apa yang perlu kita isi kelebihan perlembagaan itu dengan yang terbaik supaya orang lain boleh belajaar dari kita atau kita boleh berlumba supaya sama-sama membuat yang terbaik.

Islam sebagai agama persekutuan adalah ibarat bangunan besar yang kosong. Kita kena isi dengan segala keperluan. Jangan biarkan ia kosong dan diisi oleh sarang labah-labah dan tikus. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. bina Kaabah. Selepas ketiadaan mereka, Kaabah dipenuhi oleh 360 berhala.

Tidak mustahil Malaysia ada perlembagaan yang elok tetapi negara diisi denan hiasan sekular dan jahiliyah.
Ahli ilmu dan ulama rasmi jangan tertipu oleh kulit buku yang indah tetapi isinya penuh dengan sastera lucah. Mereka tertipu satu hal tetapi mereka tipu pula orang lain.

Tiada ulasan: