KEPALA BATAS,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Sabu hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan bahawa ‘Pas diresapi fahaman militan Negara Islam (IS) atau pengganas Daesh.’

Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Mat Sabu berkata tiada keperluan baginya untuk menarik balik kenyataannya walaupun Pas tampil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

“Mahu tarik apa? Apa punya laporan polis pun saya tak tahu. Saya tak pernah baca apa-apa pun mengenai laporan polis dibuat Pas terhadap saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Amanah peringkat negeri di sini hari ini.

Mat Sabu berkata kritikan kepimpinan Pas terhadapnya adalah hanya melalui tafsiran mereka sendiri dan beliau enggan menguals lanjut mengenai hal tersebut.

“Lebih baik kamu pergi tanya Pas mengenainya dan kenapa mereka kemukakan kenyataan berkenaan.

“Paling utama, kamu lihat sendiri berapa ramai yang hadir di majlis petang ini. Ini membuktikan bahawa kerjaya politik saya masih relevan dan tidak seperti digambarkan kepimpinan Pas,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan tuduhan Mat Sabu itu adalah langkah terdesak bagi mengembalikan karier politiknya yang kini ibarat telur di hujung tanduk.

Nik Mohamad Abduh berkata tuduhan Mat Sabu itu disebabkan beliau sudah tidak ada modal untuk menjatuhkan Pas sejak beliau keluar daripada parti itu dan membentuk Amanah.

Pas Pulau Pinang turut membuat laporan polis ke atas Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ekoran kenyataannya yang dikatakan mendakwa Pas mempunyai hubungan dengan militan Daesh dan Al-Maunah.