Rabu, 16 Disember 2015

Lima hakim ditugas kendali kes IS, keselamatan

SINAR HARIAN


Tun Arifin Zakaria
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengulas mengenai kewujudan hakim dan mahkamah khusus bagi membicarakan kes IS kepada wartawan selepas upacara penyampaian watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama


PUTRAJAYA - Lima hakim ditugaskan khusus untuk mengendalikan perbicaraan kes melibatkan kumpulan militan IS dan soal keselamatan, kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada empat hakim daripada bahagian jenayah di Kuala Lumpur dan seorang di Sabah untuk mengendalikan kes berkenaan di mahkamah-mahkamah tinggi.

"Bukan sebarang hakim, mereka ini terlatih dalam bidang tertentu dalam undang-undang kerana ia melibatkan soal keselamatan, ia ada batasan tertentu.

Jika tidak perkara-perkara berkaitan keselamatan akan terdedah kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah jawatan 10 Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi ditubuhkan mahkamah khas untuk mendengar kes-kes itu.

"Kami mempunyai hakim-hakim yang ditugaskan khusus untuk mengendalikan perbicaraan kes IS kerana kerajaan berpendapat ia merupakan ancaman serius terhadap negara. Di Sabah, kami ada seorang hakim yang mendengar kes berkaitan keselamatan sejak lebih setahun," katanya.

Arifin menjelaskan perbicaraan lambat selesai mungkin disebabkan oleh jumlah saksi yang banyak.

Ditanya sama ada mahkamah akan mengendalikan prosiding pada waktu malam untuk perbicaraan kes seumpama itu, beliau berkata mahkamah boleh mengadakan prosiding pada waktu malam tetapi akan melibatkan aspek keselamatan saksi-saksi. - Bernama


Tiada ulasan: