Isnin, 14 Disember 2015

Lelaki ditahan hina institusi diraja Johor menerusi Facebook

ANTARAPOS.COM


Post Pic

JOHOR BHARU: Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai menghina institusi diraja negeri ini, menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Larkin Jaya, di sini, pada 3.30 pagi, semalam, oleh pasukan khas yang ditubuhkan polis.
"Suspek yang merupakan seorang penganggur ditahan selepas polis bertindak atas satu laporan yang dibuat seorang individu, 7 Dis lepas.
"Kata-kata lelaki itu (menerusi Facebook) sangat menghina institusi diraja kita dan perkara ini tidak boleh dibiarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas satu telefon bimbit daripada lelaki berkenaan dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
Wan Ahmad Najmuddin berkata semakan rekod jenayah mendapati dia mempunyai rekod lampau pada Oktober lepas atas kesalahan memeras ugut.
Suspek kini direman empat hari sehingga Selasa ini dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: