Ahad, 6 Disember 2015

Langsung tiadakah perlawanan?



Oleh Amin Iskandar


Sejak beberapa hari kebelakangan ini, penduduk bandar terutama di Lembah Klang dikejutkan dengan pengumuman kenaikan kadar tol, tambang ERL, LRT dan Komuter yang sudah pasti akan meningkatkan lagi bebanan hidup mereka.

Kalau dahulu, rakyat digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan dan menjimatkan kos, hari ini menggunakan pengangkutan awam mungkin menjadi lebih mahal berbanding membawa kenderaan sendiri.

Membawa kenderaan sendiri juga bermakna terpaksa berdepan dengan kenaikan kadar tol di pelbagai lebuh raya dan harga minyak yang tidak menentu.

Bagi penduduk Lembah Klang, lebuh raya dan tol tidak dapat dielakkan walaupun jalan tetap sesak! Kenaikan tambang pengangkutan awam ini menyebabkan wang yang diperuntukkan untuk perkara lain seperti pendidikan anak juga semakin berkurangan.

Seorang menteri yang “maha cerdik” lagi bijaksana mencadangkan rakyat bangun lebih awal dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan tol ke tempat kerja.

Mungkin menteri ini hidup dalam dunianya sendiri dan sudah terlalu jauh daripada kehidupan majoriti miskin kota yang semakin hari menjadi semakin perit.

Akan tetapi majoriti menteri tidak perlu pedulikan ini semua, kerana kerusi Parlimen mereka majoritinya di kawasan luar bandar yang tidak terjejas dengan pelbagai kenaikan tambang pengangkutan awam dan kadar tol.

Barangkali mereka lupa penduduk luar bandar ini kebanyakan anak mereka bekerja di Lembah Klang.
Peningkatan kos kehidupan yang mendadak bermakna wang bulanan bagi ibu bapa di kampung semakin berkurangan!

Apa yang harus dilakukan?

Majoriti penduduk Lembah Klang sudah tidak lagi mengundi parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
Lihatlah di Wilayah Persekutuan, hanya Setiawangsa, Titiwangsa dan Putrajaya dimenangi BN. Selebihnya semua jatuh ke tangan parti pembangkang.

Apakah kenaikan harga tambang pengangkutan awam dan tol ini merupakan hukuman kepada penduduk Lembah Klang kerana mengundi pembangkang?

Yang lebih menghairankan, kemarahan warga Lembah Klang berhubung kenaikan kos pengangkutan awam dan tol hanya dapat dilihat di media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Setakat ini “jalan raya” di Lembah Klang masih belum dipenuhi dengan golongan yang membantah.
Mungkin pemimpin pembangkang sudah penat. Mungkin mereka sedang bercuti akhir tahun ke luar negara.

Mungkin juga ia kesan perpecahan Pakatan Rakyat.

Hari ini parti pembangkang di Malaysia lebih kerap bergaduh sesama sendiri berbanding memperjuangkan nasib rakyat.

Lalu apa lagi yang tinggal untuk warga miskin kota yang semakin bertambah jumlahnya? Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Tahun 2016 akan membawa seribu keperitan terutama bagi isi rumah dengan anak sekolah yang ramai.
Apakah yang harus kita lakukan? Adakah cukup dengan “meroyan” di media sosial seperti Facebook dan Twitter?

Tiada ulasan: