Selasa, 22 Disember 2015

Laluan sukar bagi PAS di Sarawak - Penganalisis

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic


SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik berpendapat PAS akan menghadapi laluan sukar untuk menang kerusi dalam pilihan raya DUN negeri Sarawak kerana ia langsung tiada pengaruh serta pengundi bukan Islam di negeri ini mempunyai tanggapan negatif terhadap mereka.

Dr Jeneri Amir berkata, di samping itu imej parti Semenanjung serta kemelut kepimpinan PAS baru-baru ini juga menyumbang terhadap persepsi negatif berkenaan.

"Memang PAS tidak ada pengaruh langsung di Sarawak ini walaupun pernah hampir menang di Beting Maro tetapi itu bukan disebabkan oleh pengaruh atau kekuatan PAS.

"Ini disebabkan oleh pelbagai perkara tempatan termasuk dari penamaan calon yang ada di situ dalam pilihan raya yang lalu.

"Pada amnya PAS tidak mempunyai pengaruh dan mendapat reaksi yang agak negatif dalam kalangan para pengundi di Sarawak khususnya dalam kalangan pengundi bukan Islam di luar-luar bandar," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Katanya, pendekatan digunakan oleh PAS juga tidak sesuai dengan dengan agama dan budaya pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya, lebih merumitkan apabila gambaran buruk perpecahan kepimpinan PAS di Semenanjung juga memberikan kesan langsung terhadap pengundi di Sarawak.

"Kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh PAS serta ideologi dibawa oleh parti itu dilihat sebagai agak ekstrem dan tidak serasi dengan agama dan budaya pelbagai kaum di Sarawak yang begitu menitikberatkan soal hubungan etnik yang harmoni.

"Tambahan pula dengan gambaran atau persepsi perkembangan kepimpinan PAS yang berlaku di Semenanjung juga memberikan kesan langsung terhadap bagaimana pengundi di Sarawak ini mengetepikan PAS," jelasnya.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa PAS tidak ada pengaruh di Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dijangka Mac depan.

Katanya, pengaruh PAS di Sabah dan Sarawak tidak sama sebagaimana pengaruhnya di Semenanjung.
Dalam pada itu, Dr. Jeniri melihat DAP adalah sebuah parti pembangkang yang paling berpengaruh dan kuat di Sarawak.

Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai 'sinar di hujung terowong' untuk merampas kembali kerusi yang mereka kalah pada pilihan raya yang lalu.

"Dari segi penerapan populariti Ketua Menteri ekoran daripada sekitar 45 langkah dan keputusan atau dasar reformasi yang telah dibuat oleh beliau itu diterima oleh etnik Cina.

"Tetapi disebabkan oleh perbalahan dalaman antara parti UPP dan SUPP telah menyebabkan etnik Cina bukan sahaja kecewa dengan kedua-dua parti itu tetapi yang pasti apabila berlaku pertembungan antara dua parti itu nanti yang meraih keuntungan daripada pertembungan itu adalah DAP," jelasnya.

Selain itu, Dr. Jeniri berpendapat selepas DAP, PKR adalah parti pembangkang kedua terkuat di Sarawak dan diikuti oleh PAS.

"Di lihat dari segi parti pembangkang selepas DAP, PKR adalah sebuah parti yang kedua kuat dan seterusnya adalah PAS.

"Bagi PKR yang hendak menambah kerusi di Sarawak itu adalah cabaran yang besar malah kemungkinan PKR akan hilang satu atau dua kerusi lagi dalam pilihan raya yang akan datang ini,"ujarnya.

Bagi Parti Amanah Negara (PAN), Dr. Jeniri menegaskan bahawa parti itu tidak akan ada peluang menang sebarang kerusi di Sarawak.

"Saya berani menegaskan bahawa peluang mereka untuk menang sebarang kerusi adalah amat tipis.

"PAS yang sekian lama berada di Sarawak tidak menang satu kerusi ini pula PAN sebuah parti yang dilihat adalah serpihan daripada PAS.

"Mereka (PAN) juga tidak dapat mengikiskan imej PAS itu daripada reputasinya sebagai sebuah parti dari Semenanjung," katanya.

Tiada ulasan: