Rabu, 2 Disember 2015

Lafaz nikah satu nafas perbuatan khurafat – Mufti Perlis

 
Langkah jurunikah meminta pengantin lelaki mengulang-ulang lafaz nikah disifatkan sebagai satu perbuatan mendera dan boleh dianggap khurafat 





PETALING JAYA: Sikap sesetengah juru nikah atau `tok kadi’ yang mahu lafaz akad dilakukan dengan hanya satu nafas disifatkan sebagai perbuatan khurafat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, tidak ada dalil yang menyatakan akad nikah perlu disebut oleh pengantin lelaki dengan satu nafas.

Katanya, perkara itu hanyalah satu perbuatan yang sengaja diadakan-adakan oleh sesetengah dan ia dilihat seperti sengaja mahu mendera pengantin.

“Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin.

“Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak,” soalnya menerusi status di Facebook.

Mengulas lanjut Dr Mohd Asri berkata, beliau berasa amat sedih apabila melihat dalam kalangan jurunikah sengaja menjadikan akad sebagai sesuatu yang sulit dan susah hingga pengantin lelaki yang hendak dinikahkan itu berasa terketar-ketar untuk melafazkannya.

Katanya, akad nikah hanyalah persetujuan kedua belah pihak untuk menjadi suami isteri yang sah dan apa-apa lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ianya adalah sah.

Tiada ulasan: