Khamis, 10 Disember 2015

KTMB: 7 tahun ke atas kena bayar penuh

 
KTMB menyatakan pihaknya akan hanya memberi tambang perjalanan percuma kepada kanak-kanak dua tahun dan ke bawah. 


KTM


PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengenakan tambang penuh bagi kanak-kanak yang berusia tujuh tahun dan ke atas berkuatkuasa 2 Disember lalu.

Sebelum ini, kanak-kanak berumur tujuh hingga 11 tahun menerima diskaun 50 peratus.

Dalam satu kenyataan media, KTMB menyatakan pihaknya hanya memberi tambang perjalanan percuma kepada kanak-kanak dua tahun dan ke bawah.

Sebelum 2 Disember, kanak-kanak empat tahun ke bawah tidak dikenakan sebarang bayaran.

Struktur harga baharu yang berkuatkuasa pada 2 Disember lalu membabitkan perjalanan sektor Lembah Klang iaitu laluan Tanjung Malim ke Sungai Gadut dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

Manakala perkhidmatan untuk KTM Komuter Sektor Selatan iaitu Sungai Gadut ke Tampin, dan sektor utara antara Kamunting ke Gurun, harga tambang tidak berubah.

Dalam pada itu, KTMB juga memperluaskan tambang diskaun 50 peratusnya kepada golongan pelajar sekolah rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Tambang konsesi bagi warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dikekalkan kepada diskaun 50 peratus seperti sebelumnya.

“Struktur tambang baharu ini memberi kelebihan kepada mereka yang menggunakan KTM Komuter untuk perjalanan jarak jauh kerana kadar tambang lebih murah berbanding dengan perjalanan jarak dekat,” kata kenyataan itu.

KTMB meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB 1300-88-5862 atau melayari laman twitter @ktmkomuter.

Tiada ulasan: