Jumaat, 18 Disember 2015

Kritikan bukti DAP takut PAS-Umno bersatu untuk ummah - Asyraf

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kritikan DAP membuktikan bahawa mereka kurang senang melihat perjumpaan PAS dan Umno semalam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
 
Sekaligus beliau yakin bahawa program Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 itu berjaya mencapai objektifnya dengan menyatukan kedua-dua pemimpin berlainan parti itu demi kesatuan ummah dan agama Islam. 
 
"Hendak tahu ukurannya berjaya atau tidak kita tengok bagaimana maklum balas ataupun telahan dan kritikan daripada mereka yang mungkin kurang senang dengan multaqa ini. 
 
"Semalam saya perhatikan di Twitter dan di media sosial terutamanya daripada pihak DAP atau pemimpin tertingginya Lim Guan Eng memberikan kritikan terhadap multaqa ini.
 
"Jadi saya kira berjaya program ini apabila mendapat kritikan dan tomahan daripada pihak yang hakikatnya mereka tidak akan senang apabila mereka lihat umat Islam bicarakan perkara-perkara asas yang merujuk kepada kepentingan umat Islam dan kepentingan agama," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di sini hari ini.
 
Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 bersama Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
 
Najib dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan, manakala Hadi pula dijemput untuk menyampaikan ucaptama. 
 
Malah Najib dalam ucapan perasmian majlis itu semalam sekali lagi mengajak PAS untuk bergabung bersama Umno, dengan mengambil sepotong ayat Al Quran sebagai rujukan untuk mewujudkan usaha ke arah penyatuan dua parti politik berkenaan.
 
Menurut Asyraf, DAP juga bukan sekadar mengkritik malahan mereka cuba memburukkan Presiden PAS dengan menaburkan fitnah kepada beliau.
 
"Dengan memfitnah PAS menyatakan bahawa presiden PAS adalah mendapat bahagian daripada RM2.6 bilion," katanya.
 
Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melalui laman Twitternya memberitahu bahawa PAS boleh bekerjasama dengan Umno kerana parti Islam itu kerana menerima sebahagian wang dana RM2.6 bilion.
 
"PAS antara yang terima bahagian dari dana RM2.6B. Jadi memang layak mereka berkawan baik," katanya melalui laman Twitter berserta gambar Najib dan Hadi.
 
Namun sebentar tadi Guan Eng menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian dan satu laporan polis telah dibuat. 
 
 
 

Tiada ulasan: