shahbudindotcom
Sehingga
kini Najib Razak adalah satu-satunya Perdana Menteri yang dikenalpasti
paling banyak melakukan tawaran kerjasama politik kepada pelbagai pihak
dalam negara ini.
Kepada
pengundi bukan Melayu, beliau pernah menawarkan kerjasama melalui
slogan 1Malaysia dan " I help you, you help me" tetapi kedua-duanya
gagal membuahkan hasil di mana sebaik saja keputusan PRU 13, kekecewaan
Najib dapat dirasakan apabila menyifatkannya sebagai tsunami Cina.
Najib
juga menawarkan kerjasama lebih khusus kepada pengundi India melalui
hubungan dengan Hindraf dan kemudian melantik pemimpin utamanya sebagai
timbalan menteri untuk menjaga kepentingan kaum itu.
Hubungan
itu juga berakhir dengan kekecewaan sehingga P Waythamoorthy meletakkan
jawatannya dan kembali menjauhkan diri daripada Najib kerana
berpendapat banyak janji-janji yang diluahkan tidak ditepati.
Dalam
Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, setelah memecat Muhyiddin Yassin
dan Shafie Apdal daripada kerajaan berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600
juta yang diterimanya serta membelasah semua pengkritiknya, di majlis
penggulungannya beliau menghulurkan salam perdamaian dengan alasan demi
perpaduan dan pengukuhan parti.
Di
dalam perhimpunan itu juga, Najib menawarkan salam kerjasama dengan Pas
yang selama ini dimusuhinya. Semalam pula dalam majlis alumni Al Azhar
yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Hadi Awang di mana kedua-duanya
berpakaian sedondon baju Melayu berwarna merah jambu, Najib sekali lagi
menawarkan kerjasama sambil memetik ayat-ayat suci Al Quran, surah 103
Ali-Imran yang menekankan mengenai perpaduan dan berpegang kepada tali
Allah.
Dalam
konteks kononnya berjiwa besar ingin berdamai dengan pengkritiknya
dalam UMNO dan kemudian menawarkan pula kerjasama dengan Pas, yang mana
satukah menjadi keutamaan Najib - mencari perdamaian dalam UMNO atau
bekerjasama dengan Pas?
Apakah
dengan menyatakan ingin berdamai itu, Muhyiddin dan Shafie akan terus
dikekalkan kedudukannya dalam UMNO atau kedua-duanya tetap akan
disingkirkan selepas ini?
Tanpa
menunjukkan tanda-tanda susulan mahu berdamai dengan musuh dan
pengkritiknya dalam UMNO, apakah kerjasama dengan Pas hanya sebagai
"galang ganti" untuk memudahkan tindakan diambil diambil terhadap
Muhyiddin dan Shafie?
Salam
kerjasama yang dihulurkan Najib kepada Pas dengan menggunakan alumni Al
Azhar dan mungkin turut sama melalui peranan Nasharuddin Mat Isa, bekas
Timbalan Presiden Pas yang kini diberikan jawatan CEO Yayasan
Kesederhanaan Global, kini pantas disambut dengan tertubuhnya sebuah
jawatankuasa ke arah itu.
Terlihat seolah-olah ingin cepat benar kerjsama itu mahu dijadikan kenyataan.
Kerjasama
ini, walaupun sekali imbas memperlihatkan keinginan lebih di pihak
Najib, tetapi tidak dinafikan Pas juga memerlukannya demi masa depan dan
kepentingan politiknya.
Walaupun
Najib kelihatan semakin kuat dalam UMNO, tetapi perselisihannya dengan
Tun Mahathir, Muhyiddin dan Shafie membuatkan parti itu semakin jauh di
hati rakyat. Rakyat lebih melihat isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang
dibangkitkan oleh ketiga-tiga pemimpin itu terlalu banyak kebenaran yang
sukar dinafikan.
Berbaik
dan bekerjasama dengan Pas mungkin menjadi pertimbangan Najib untuk
terus menjarakkan diri dan "berkerat rotan" dengan Tun Mahathir,
Muhyddin dan Shafie dengan keyakinan bahawa kerjasama itu mampu
mendatangkan sokongan rakyat yang lebih melimpah kepada pengekalan
kuasanya.
Jika
tidak bermasalah dengan Tun Mahathir, Muhyiddin dan Shafie, apakah
mungkin salam kerjasama kepada Pas itu dihulurkan oleh Najib?
Pas
pula baru saja berpecah dengan kumpulan progresif dan kehilangan bekas
Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu serta lain-lain pemimpin yang
merupakan aktivis dalam parti itu. Walaupun Pas kelihatan masih utuh,
tetapi akibat perpecahan dan penubuhan Amanah, sokongan rakyat kepadanya
juga berkurangan khususnya di kalangan profesional dan pekerja sektor
awam serta swasta.
Dengan
bekerjasama dengan UMNO, Pas sebagai sebuah parti politik, tidak lain
keinginannya selain berharap dapat mengekalkan pengaruh dan kuasanya di
negeri-negeri tertentu.
Hakikatnya, kerjasama ini ditawarkan dan disambut ketika kedua-duanya, UMNO dan Pas sedang bermasalah dari segi sokongan rakyat.
Tetapi
yang paling mendapat manfaat daripada kerjasama itu ialah Najib
sendiri. Dengan Pas yang diomong-omongkan berlabel Islam pun sedia
berbaik dengannya, Najib kini secara langsung dapat "menyucikan" dirinya
daripada isu wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya itu.
Sekarang
ini bukan saja Haji Hadi tidak melhat isu wang itu sebagai hal besar
kepada Najib yang tiba-tiba bergelar bilionaire, malah pemimpin, ahli
dan penyokong Pas pun turut kurang kedengaran bercakap mengenainya
seolah-olah memasukkan wang besar ke poket sendiri ketika berjawatan
besar adalah amalan yang sudah tidak berbangkit lagi dari segi salah
benar atau halal haramnya.
Sudah
pasti selepas ini Najib tidak lagi bercakap mengenai 1Malaysia atau "I
help you, you help me" kepada bukan Melayu. Lidahnya akan lebih petah
bercakap mengenai jiwa Melayu, perpaduan Islam, kabilah, malah mungkin
petikan terjemahan Al Quran yang bersesuaian turut semakin kerap
diungkapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan